Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

KJ: Muhyiddin wajar mohon sembah maaf pada Al-Sultan

Bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin menyentuh isu ucapan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang didakwa mempertikai keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam melantik perdana menteri.

"Dalam hal inilah lebih dan sangat sesuai sekiranya sembah maaf dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin.

"Saya faham apa dia cakap itu - ‘saya ada jumlah tapi entah atas sebab apa dia tidak diminta untuk membentuk kerajaan’.

"Tetapi cara dia sampaikan itu, bagi saya melihat kepada video tersebut seolah-olah dia mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan dalam hal ini kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri.

"Itu kuasa mutlak dalam perlembagaan jadi kamu tidak boleh menyoal kenapa, bagaimana dan sebagainya," katanya ketika podcast Keluar Sekejap bersama seorang lagi bekas ahli Umno Shahril Hamdan.

Khairy juga berkata Muhyiddin tidak wajar menyentuh perkara itu dengan mengambil kira prinsip Raja Berperlembagaan.

"Dia ungkit benda yang memang kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

"Move on lah, benda tu dah jadi. Dua tahun lepas punya cerita. Awak tidak dapat jadi (perdana menteri).

“Kenapa nak kena jadikan sebagai (bahan) ceramah politik," katanya lagi.

Muhyiddin dijadual memberikan keterangan kepada polis di  pejabatnya di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Kuala Lumpur  pada jam 11 pagi esok.

Siasatan itu dibuat susulan 30 laporan polis, termasuk oleh istana Pahang, terhadapnya kerana didakwa mempertikai keputusan yang di-pertuan agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik perdana menteri.

Muhyiddin dilaporkan menyebut bahawa agong tidak mengundangnya mengangkat sumpah perdana menteri walaupun mempunyai sokongan cukup anggota parlimen.

Kenyataan itu turut membuatkan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah murka atas tindakan “memperlekeh” tugas Al-Sultan Abdullah ketika menjadi agong.

Muhyiddin bagaimanapun menegaskan kenyataannya di Nenggiri, Kelantan itu bukan bertujuan menghina institusi raja tetapi hanya menyatakan “fakta”.