Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Semak fakta: Pencen penjawat awam tidak dimansuhkan

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan satu mesej tular yang mendakwa penjawat awam tidak lagi diberi pencen bermula tahun ini.

JPA juga menafikan dakwaan pencen penjawat awam telah ditukar kepada caruman KWSP dan ahli politik tidak lagi menerima lebih daripada satu pencen.

“jangan percaya dengan informasi tular daripada Whatsapp mahupun Telegram dan sebagainya. 

“Sentiasa rujuk dengan JPA bagi perkara yang melibatkan pekeliling dan dasar,” menurut JPA di X.

Mesej itu mula disebarkan di Whatsapp awal tahun ini selepas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Januari yang skim perkhidmatan awam baru akan dilaksanakan.

Ia termasuk skim pencen baru - melibatkan cadangan agar penjawat awam baru tidak lagi berpencen dan digantikan dengan caruman KWSP.

Pada bulan sama, Menteri Kewangan II Amir Hamzah berkata kerajaan tidak berhasrat mengubah skim pencen untuk penjawat awam sedia ada, dengan skim baru hanya melibatkan mereka  yang “baru masuk” dan penjawat awam kontrak “buat masa sekarang”.

Kerajaan juga memaklumkan cadangan skim baru itu sedang dikaji dan akan selesai pada suku kedua tahun ini. Sejak itu, tiada lagi makluman baru berkenaan perkara itu.

Mesej palsu itu kembali tersebar selepas Kini News Lab pada 15 Julai lalu menerbitkan laporan berkenaan pencen wakil rakyat. Laporan itu antara lain menyentuh soal jumlah pencen yang akan diterima ahli politik jika mereka berkhidmat di peringkat negeri dan persekutuan, dan untuk jawatan berbeza.

Ia selepas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Januari lalu bahawa ahli politik ada tanggungjawab moral untuk mengambil satu pencen saja, namun keputusan tetap di tangan mereka.


Malaysiakini adalah sebahagian daripada kumpulan pemeriksa fakta Malaysia, JomCheck.

Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak fakta yang didakwa dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian tip di 017-477 6659 (teks WhatsApp sahaja, tiada panggilan) atau melalui pautan ini.