Anwar akui 'paling kurang' bicarakan isu bumiputera
Anwar Ibrahim hari ini mengakui dia antara perdana menteri Malaysia yang paling kurang bercakap mengenai soal dan dasar ekonomi bumiputera.
Bagaimanapun, tegasnya, itu tidaklah bermakna dia tidak cakna terhadap isu berkenaan sebaliknya memilih pendekatan lain iaitu lebih berminat untuk melihat pelaksanaannya berjalan.
“Saya antara perdana menteri yang paling sedikit bicara soal bumiputera, dan dasar ekonomi bumiputera, kerana saya lebih berminat untuk memastikan pelaksanaanya daripada menghebahkan dasarnya.
“Sebagai contoh apabila kita sebut tentang dasar ekonomi bumiputera, kita ada Bandar Malaysia - satu tanah yang paling berharga dalam negara ini, dan dulunya kita terlepas pegangan.
“Sekarang kita wujudkan di bawah perbadanan dan sejak merdeka pada 1957, inilah pertama kali kerajaan Madani mengisytiharkan 50 ekar sebagai tanah rezab Melayu,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 di Putrajaya, hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan anggota kabinet kerajaan perpaduan.
Terdahulu Kementerian Ekonomi memperkenalkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dengan hala tuju pembangunan ekonomi baru bumiputera sebagai satu langkah proaktif untuk mengangkat darjat dan martabat masyarakat berkenaan.
Rafizi antara lain berkata pelan itu menggagaskan tiga teras yang sejajar dengan ekonomi Madani iaitu memperkukuh pasak ekonomi negara, memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi, dan ketiga, menegakkan keadilan sosial.
Anwar turut memberi gambaran betapa pendekatan kerajaan Madani adalah berbeza berbanding pentadbiran terdahulu.
Dia turut menyinggung pihak-pihak yang menunggang nama bumiputera dan Melayu untuk mengaut keuntungan sendiri.
“Sebab itu saya katakan berbeza, simpang siur politik kita faham. Tetapi riuh-rendah siapa (lebih) Melayu, ini Melayu, itu Melayu tetapi kadang-kadang atas nama Melayu bumiputera itu juga hak bumiputera dan hak Melayu pun kita sakau.
“Kalau tidak badan-badan macam Bank Bumiputera (suatu ketika dulu) tidak sampai terlingkup. Saya beritahu perbadanan ini tentunya pembangunan untuk rakyat Malaysia,” jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai