Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Kerajaan perkenal PuTERA35 untuk angkat martabat bumiputera

Kementerian Ekonomi memperkenalkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dengan hala tuju baru pembangunan ekonomi bumiputera sebagai satu langkah proaktif mengangkat darjat dan martabat golongan terbabit.

Menterinya Rafizi Ramli berkata pelan itu menggagaskan tiga teras yang sejajar dengan ekonomi Madani iaitu memperkukuh pasak ekonomi negara, memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi, dan ketiga, menegakkan keadilan sosial.

“Berpaksikan semangat inklusif, kerajaan perpaduan komited untuk memastikan agenda bumiputera terus diberi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan sosioekonomi negara.

“Ini sama sekali tidak akan menafikan hak kaum lain, sebaliknya mampu memberi kesan manfaat kepada semua kaum dalam aspek pembangunan dan kemajuan negara,” katanya.

Rafizi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena pelancaran PuTERA35 yang disempurnakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi serta barisan jemaah menteri.

Berdasarkan kenyataan media PuTERA35 dibangunkan dengan tiga tema iaitu penyertaan, pemilikan dan penguasaan (3P) bumiputera yang lebih bermakna.

Pelan berkenaan juga disokong dengan tiga teras, 12 pemacu dan 132 ikhtiar yang pebih komprehensif, berani, berpandangan jauh serta lebih inklusif yang merupakan anjakan besar dalam membawa pembangunan bumiputera ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi serantau.

Justeru Rafizi berkata dia mengajak anggota kabinet, penjawat awam, pihak swasta serta yang lain untuk bersama-sama berusaha untuk memastikan apa yang diaspirasikan dalam PuTERA35 dapat dilaksanakan dengan jayanya demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Kita boleh ada perancangan yang hebat. Namun, perkara yang mustahak adalah kecekapan pelaksanaan demi keberkesanan rancangan yang dirangka.

“Pada Jumaat yang lepas, kita telah mendengar amanat perdana menteri supaya setiap daripada kita mesti mempunyai iltizam yang tinggi untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan, serta bersedia untuk melaksanakan perubahan demi meningkatkan daya saing negara,” jelasnya.

Tambah ahli parlimen Pandan itu lagi, harapan besar bersama adalah supaya PuTERA35 akan melahirkan generasi bumiputera yang positif, progresif dan inovatif sekali gus mampu bersaing bukan sahaja di peringkat domestik malah di peringkat antarabangsa.