Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

'Kenyataan media Bersatu mohon ampun' itu palsu - Afif

Seorang Adun Bersatu menafikan parti itu ada mengeluarkan kenyataan media memohon ampun kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, berhubung ucapan Muhyiddin Yassin di Nenggiri baru-baru.

Menurut Adun Taman Medan, Dr Afif Bahardin, imej yang menggunakan logo Bersatu dan kenyataan melibatkan presiden mereka itu adalah tidak benar.

"Kenyataan itu palsu," katanya secara ringkas kepada Malaysiakini ketika diminta mengesahkan yang tular di media sosial sejak pagi tadi.

Kenyataan berkenaan yang dipaparkan tanpa tarikh antara lain mendakwa Bersatu memohon ampun kepada Sultan Pahang dan menteri besar negeri itu, Wan Rosdy Wan Ismail, serta seluruh rakyat Pahang.

Kenyataan itu juga mendakwa Bersatu memberi amaran keras kepada mana-mana parti politik khasnya DAP supaya menghormati institusi raja berperlembagaan dan tidak menjadikan isu ini sebagai modal untuk berpolitik.

Sebelum ini, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Muhyiddin yang memperlekeh serta mempertikaikan tugas serta peranan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Tengku Hassanal turut mahu Polis Diraja Malaysia bertindak tanpa sebarang kompromi ke atas bekas perdana menteri terbabit.

Sebelum ini, Muhyiddin ketika memberikan ceramah umum semasa berkempen di Nenggiri, Kelantan, pada 15 Ogos lalu mendakwa sepatutnya dia dipanggil menghadap Agong untuk dilantik sebagai perdana menteri kerana memiliki jumlah sokongan ahli parlimen yang lebih daripada mencukupi.

Rakaman tersebut kemudian tular di media sosial.