Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Teo kecam fitnah Syerleena nak tukar agama rasmi negara

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching mengecam serangan media sosial terhadap Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid dan menyifatkannya sebagai 'fitnah yang melampau'.

Dalam satu kenyataan hari ini, dia berkata tindakan tegas perlu diambil untuk menghentikan tuduhan palsu bahawa Syerleena cuba mengubah agama rasmi Malaysia.

"Saya mewakili Wanita DAP dengan tegas mengecam serangan fitnah yang dilemparkan terhadap Ahli Parlimen Bukit Bendera, Saudari Syerleena Abdul Rashid melalui media sosial baru-baru ini.

"Fitnah yang mendakwa beliau 'berjuang menukar agama rasmi Malaysia' dan 'akan menyerang institusi Islam khususnya JAKIM' adalah tidak bertanggungjawab dan berpotensi menimbulkan ketegangan serta perpecahan dalam masyarakat.

"Serangan-serangan seperti ini yang ditujukan khususnya kepada ahli Melayu dalam DAP, adalah kesinambungan daripada retorik berbahaya seperti 'kafir harbi' yang mesti dihentikan segera," kata Teo yang juga ketua Wanita DAP.

Dia berkata fitnah terhadap wanita Melayu dalam DAP bukan sahaja mencemarkan reputasi mereka tetapi juga boleh mengundang keganasan berasaskan gender.

"Kajian World Economic Forum (WEF) dalam laporan Gender Gap Index 2024 telah pun menunjukkan bahawa Malaysia menduduki antara tangga yang tercorot dari segi pemerkasaan wanita dalam politik.

"Jadi, bagaimana kita nak memerkasa lebih ramai wanita untuk sertai politik jika situasi fitnah sebegini terus berlaku," soal Teo.

Syerleena Rashid pada Sabtu telah membuat laporan polis terhadap pihak yang mendakwa dia berjuang untuk mengubah agama rasmi negara, selain tuduhan dirinya anak kepada bekas pemimpin PKM Abdul Rashid Maidin.

"Secara jelas, dakwaan-dakwaan ini adalah fitnah melampau yang ditaburkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dengan niat untuk mewujudkan persepsi negatif orang ramai khususnya dalam kalangan orang Melayu terhadap saya, parti saya serta Kerajaan Madani secara umumnya.

"Pada hantaran sama, terhadap juga individu yang mendakwa pemimpin Parti Komunis Malaya, Rashid Maidin sebagai bapa saya.

"Walhal arwah bapa saya, Abdul Rashid Hanafi merupakan seorang guru sekolah yang baru sahaja meninggal dunia pada awal Jun lalu," kata Syerleena.

Seorang pengguna TikTok telah memuat naik video dengan imej yang menunjukkan Syerleena bersama teks yang seolah-olah mengaitkan petikan itu kepadanya mengenai perubahan agama rasmi negara kepada Kristian dan ikrar ahli parlimen DAP ity untuk menyerang institusi Islam, khususnya Jakim.

Dalam video yang dimuat naik Syerleena ke halaman Facebooknya, dia berkata poster pada latar belakang TikTok tersebut pertama kali muncul pada tahun 2017.

Seorang pengguna lain yang mengulas pada video tersebut, menuduh bapa Syerleena seorang pemimpin Parti Komunis.

Sementara itu Teo berkata dia yakin pihak polis akan menjalankan siasatan yang telus dan adil terhadap laporan yang dibuat oleh Syerleena.

"Sebelum kita mendabik dada, inginkan kesaksamaan gender dan lebih ramai penglibatan wanita dalam politik, kita harus memperbaiki persekitarannya dahulu di mana wanita itu rasa selamat dan disokong untuk mara ke hadapan.

"Dan kerana itulah program seperti Herlead (program pemerkasaan wanita DAP) ialah mustahak untuk menyokong trajektori karier seseorang wanita itu dan ia juga menyediakan satu ekosistem di mana pertalian persaudaraan antara wanita itu boleh diguna dalam apa-apa situasi.

"Akhir sekali, saya percaya bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan secara telus dan adil terhadap laporan yang telah dibuat oleh Saudari Syerleena Abdul Rashid.

"Bagi pihak DAP Wanita, kami yakin bahawa kebenaran akan terbukti dan keadilan akan ditegakkan bagi menghentikan budaya fitnah yang semakin berleluasa ini," kata Teo.