Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Anwar: Pemergian Rozaid kehilangan sahabat dan keluarga

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO) Rozaid Abdul Rahman yang meninggal dunia semalam.

Perdana Menteri yang ditemui ketika menziarahi jenazah di Masjid Putra Heights di Subang Jaya pagi ini berkata secara peribadi pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang cukup besar kerana beliau sudah menganggap arwah sebagai sahabat dan ahli keluarga memandangkan mereka telah berkenalan sejak sekian lama.

“Kita kehilangan sahabat dan keluarga kerana Rozaid adalah kenalan lama sejak dia di media. Kemudian bapanya teman rapat di Permatang Pauh dan pernah jadi Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Di pejabat Perdana Menteri, beliau merupakan tonggak dari segi strategi menyantuni media dan berikan pendekatan yang baik.

"Saya dari segi peribadi dan keluarga mendoakan kepada Allah supaya roh Rozaid dicucuri rahmat dan mohon isterinya dan keluarganya sabar, dan saya secara peribadi kehilangan sahabat dan rakan seperjuangan,” katanya.

Terdahulu Anwar bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa hampir sejam bagi menziarahi keluarga Allahyarham.

Sementara itu dalam catatan di Facebook, Anwar berkata beliau mengenali Allahyarham Rozaid dan keluarganya sejak puluhan tahun, terutama ketika arwah baru mula mencipta nama sebagai wartawan yang disegani di akhbar Utusan Melayu, selain bapanya yang menjadi antara pemimpin terawal Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Saya, Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan keluarga hadir bersama teman-teman lain untuk memberi penghormatan terakhir buat Almarhum Rozaid Abdul Rahman, teman seperjuangan yang telah pergi dijemput ilahi lewat petang semalam,” katanya.

Perdana Menteri turut menganggap arwah sebagai seorang pejuang yang kental dan setia sepanjang mengenalinya.

“Saudara Rozaid adalah pejuang yang kental dan setia, termasuk saat dipenjarakan dan menjadi antara mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pasca ledakan gelombang reformasi pada tahun 1997-1998,” katanya.

Anwar berkata beliau secara peribadi amat terkesan dengan kehilangan seorang sahabat dan rakan seperjuangan yang setia dan gigih.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Rozaid, diampunkan segala dosanya serta dilimpahkan kekuatan yang tidak terhingga buat keluarganya. Insya-Allah, perjuangan dan pengorbanan Almarhum akan diteruskan pasukan. Al-Fatihah,” katanya.

- Bernama