Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Pertubuhan profesional minta k'jaan kaji semula pindaan akta juruukur tanah

Sejumlah pertubuhan profesional menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula pindaan terhadap Akta Juruukur Tanah Berlesen 1958 yang diluluskan awal tahun ini.

Mereka memberi amaran pindaan baru hanya akan membenarkan juruukur tanah berlesen (LLS) yang berdaftar di bawah Lembaga Juruukur Tanah (LSB) untuk menjalankan tinjauan geomatik, walaupun terdapat banyak profesion lain yang juga menggunakan geomatik dalam kerja harian mereka.

Profesion-profesion tersebut termasuk ahli geospatial, jurutera, ahli geologi, ahli hidrografi, perancang bandar dan desa, petani, pakar pembinaan, pengawal trafik udara dan jurunavigasi laut.

Lulusan baru dari pelbagai bidang yang mengambil kursus geomatik juga akan dilarang daripada menjalankan tinjauan geomatik.

"Dasar yang mengehadkan tinjauan geomatik hanya kepada LLS boleh memberi kesan negatif kepada pembangunan negara.

"Keperluan untuk melantik LLS bagi setiap jenis tugas pengukuran geomatik berpotensi meningkatkan kos projek dan melambatkan jadual projek disebabkan oleh kekurangan juruukur yang tersedia [...]

"Takrifan geomatik yang sangat luas dalam pindaan undang-undang dan sekatan terhadap tinjauan geomatik akan memberi kesan yang serius terhadap ekonomi kita.

"Pindaan ini akan menambah lapisan birokrasi yang lebih besar serta menjejaskan kedudukan daya saing dan kemudahan menjalankan perniagaan di negara ini," kata kumpulan-kumpulan tersebut dalam satu kenyataan bersama malam tadi.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Pertubuhan Hidrografi Kebangsaan (Malaysia), Persatuan Sains Tanah Malaysia, Institut Jurutera Elektrik; Elektronik Persatuan Geosains & Penderiaan Jauh Cawangan Malaysia, Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia, Institut Geologi Malaysia, Institut Pertanian Malaysia, Institut Perhutanan Malaysia, Institut Pengurusan Perladangan Antarabangsa, Persatuan Kejuruteraan & Teknologi Malaysia, Institut Perancang Malaysia, Institut Arkitek Landskap Malaysia, dan Persatuan Geospatial dan Remote Sensing Malaysia.

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Pindaan Juruukur Tanah Berlesen 2024 pada 25 Mac, diikuti oleh kelulusan Dewan Negara pada 4 April.

Pada masa itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata pindaan tersebut membantu untuk mengikuti perkembangan dalam bidang geomatik dan profesion juruukur tanah, serta memperluas kuasa LSB.

Menurut undang-undang yang telah dipinda, "tinjauan geomatik" merujuk kepada "sebarang tinjauan yang dilakukan untuk tujuan penghasilan atau berkaitan dengan peta, pelan tinjauan geomatik atau maklumat menggunakan teknik pengukuran yang tepat."

Menurut pertubuhan profesional yang berkenaan ia melibatkan pengukuran analisis, dan tafsiran ciri-ciri fizikal bumi, dari bawah permukaan hingga ke angkasa, menggunakan pelbagai teknik dan teknologi termasuk sistem navigasi satelit global, penderiaan jauh dan sistem maklumat geografi.

"Ia adalah bidang pengetahuan dan aplikasi rentas disiplin yang memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor, termasuk kejuruteraan, hidrografi, perancangan bandar dan desa, pertanian, perladangan, perhutanan, seni bina landskap, geologi, pengurusan bencana, serta banyak lagi bidang lain," kata mereka.

Di bawah undang-undang yang telah dipinda, sesiapa yang menjalankan tinjauan geomatik tanpa LLS boleh dikenakan denda sehingga RM250,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

Undang-undang menyatakan yang tempoh peralihan selama enam bulan diberikan untuk membolehkan professional geomatik bukan LLS mendaftar dengan LSB.

Tempoh ini hanya akan bermula setelah peraturan berkaitan diwartakan.

Bagaimanapun, organisasi tersebut berkata profesional bukan LLS menghadapi tugas yang hampir mustahil untuk memenuhi keperluan LSB untuk mendaftar sebagai LLS walaupun mereka tidak menjalankan tinjauan hak milik dan dilarang secara sah daripada melakukannya.

"Tambahan pula, bagi kebanyakan profesional geomatik bukan LLS, tidak ada keperluan untuk menjalankan tinjauan hak milik dalam bidang masing-masing.

"Oleh itu, tidak mungkin mereka dapat memenuhi syarat pendaftaran dengan LSB semasa tempoh peralihan ini," kata mereka.

Walaupun dengan potensi kesan undang-undang baru ini, kumpulan-kumpulan tersebut mendakwa sangat sedikit pihak berkepentingan telah dirundingkan.

Mereka berkata semasa satu siri perbincangan yang diadakan pada bulan Jun dan Julai tahun ini, didapati daripada 41 pihak berkepentingan yang berkaitan, 38 menyatakan organisasi mereka tidak mengetahui langsung tentang pindaan tersebut dan tidak dijemput ke sesi libat urus LSB yang diadakan pada tahun 2020.

Bagi baki tiga pihak, mereka berkata Lembaga Jurutera Malaysia, Lembaga Arkitek Malaysia, dan Lembaga Perancang Bandar Malaysia menyatakan terlibat dalam sesi libat urus LSB tetapi tidak menyokong akta pindaan yang diluluskan di parlimen.

Selain itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia telah menjalankan tinjauan dari Disember 2020 hingga Januari 2021, tetapi tiada satu pun daripada 41 pihak berkepentingan yang menerimanya.

"Ini menimbulkan persoalan tentang keberkesanan penyebaran maklumat dan keterbukaan proses ini kepada semua pihak yang terlibat," kata mereka.

Memandangkan isu-isu ini, mereka menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula pindaan tersebut, dan mengadakan perbincangan yang meluas dengan semua pihak berkepentingan.

[Baca berita asal]