Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Muda akan keluarkan laporan audit dana bantuan banjir 2021 pada penderma

Muda akan mengeluarkan laporan audit mengenai usaha pengumpulan dana untuk operasi bantuan banjir Disember 2021 kepada penderma.

Muda berkata pelaporan Agreed Upon Procedures (AUP) itu telah dijalankan oleh sebuah firma audit pihak ketiga mengikut keperluan etika dan piawaian yang diluluskan.

“Kami akan menjemput para penderma (ke suatu majlis penghargaan) tidak lama lagi untuk mengucapkan terima kasih dan memberikan maklumat tambahan jika diperlukan.

"Jemputan tersebut akan dimasukkan bersama emel yang akan dihantar kepada mereka,” kata Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz seperti dipetik The Malaysian Insight (TMI).

Pada satu hantaran Instagram, Muda berkata lebih 40,000 penderma dan 10,000 sukarelawan telah menyumbang kepada Misi Mari Bantu Banjir anjuran parti itu.

Duit derma tersebut, kata Muda digunakan untuk menyediakan sumber asas, bantuan kecemasan dan sokongan jangka panjang kepada keluarga yang memerlukan di lapan negeri.

Menurut TMI yang melihat salinan laporan audit tersebut, ia disediakan oleh salah satu firma terbesar di Malaysia.

Identiti firma audit itu tidak didedahkan kerana perjanjian sulit.

Firma tersebut telah mengaudit RM1,016,668 atau 49 peratus daripada jumlah keseluruhan RM2,070,767, menggunakan pensampelan rawak berdasarkan perbelanjaan yang disediakan oleh jawatankuasa eksekutif pusat parti.

Amira dipetik TMI berkata Muda parti pertama di Malaysia menggunakan firma audit pihak ketiga untuk telus dalam inisiatif bantuan kemanusiaannya.

Adun Puteri Wangsa itu menggesa semua parti lain di Malaysia untuk melakukan perkara yang sama dalam mengaudit derma sumbangan orang ramai.

"Jika Muda boleh buat, mereka juga harus mengikuti langkah ini untuk menunjukkan komitmen terhadap prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban," katanya lagi.