Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Zahid harap esok ada 'cahaya terang di hujung terowong'

PRK NENGGIRI | Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keyakinan calon yang dipertaruhkan parti itu Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (dikenali sebagai Awie) mampu mencipta kejayaan esok.

Meskipun turun sebagai calon "underdog" pada awalnya namun Ahmad Zahid berkata terdapat peningkatan sokongan yang ditunjukkan pengundi kepada Awie.

"Saya sendiri turun sebanyak enam kali dalam PRK DUN Nenggiri ini dan tidak pernah saya turun sekerap ini di PRK ini kerana saya nak memberi motivasi kepada anak-anak buah saya bahawa insya-Allah dengan izin Allah Nenggiri adalah milik kita semula.

"Saya terpaksa melakukan mikro targeting kepada pengundi di Nenggiri dalam 20 PDM ini dan saya merasakan bahawa walaupun kita adalah underdog.

"Tetapi dengan kerja keras parti di pelbagai peringkat saya mengharapkan esok 17 Ogos adalah merupakan hari yang akan melihat bahawa akhirnya ada cahaya terang di hujung terowong ini Insya-Allah," katanya ketika ditemui ketika melawat Pos Pulat, Gua Musang, petang tadi.

PRK DUN Nenggiri akan berlangsung esok menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon BN dan calon PN Mohd Rizwadi Ismail, bekas ahli PAS yang direstui parti itu untuk menyertai Bersatu sebelum pilihan raya kecil ini.

Seramai 20,259 pemilih layak untuk mengundi akan menentukan wakil rakyat baru kawasan itu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Mohd Azizi Abu Naim menang kerusi itu dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi, berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri menyeru semua pengundi agar keluar menunaikan tanggungjawab tanpa perlu takut kepada sebarang ugutan.

Katanya, Umno akan menyediakan kemudahan logistik kepada pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab esok.

"Saya mengharapkan semua pengundi keluar beramai-ramai perlihatkan peratusan yang keluar ini lebih tinggi jumlahnya.

"Saya yakin semua pihak akan menyediakan logistik yang lengkap tetapi saya ingin berikan jaminan logistik jentera BN sangat menyantuni pengundi yang bakal beri undi kepada Awie.

"Saya meminta supaya mereka istiqamah dan tetapkan hati bahawa mereka tidak takut dengan ugutan pihak lawan politik kita termasuklah ugutan tentang geran tanah untuk pemilik-pemilik peneroka dan peserta Kesedar," katanya lagi.