Jawatan PM Thailand kembali pada keluarga Thaksin
Paetongtarn Shinawatra dipilih sebagai perdana menteri Thailand.
Anak bekas perdana menteri Thaksin itu menjadi perdana menteri termuda negara Gajah Putih itu pada umur 37 tahun, lebih muda daripada ibu saudaranya Yingluck.
Pemilihannya dilakukan parlimen dua hari selepas Mahkamah Persekutuan Thailand melucutkan jawatan perdana menteri Srettha Thavisin kerana melantik bekas banduan rasuah sebagai menteri.
Kedua-dua mereka daripada parti Pheu Thai yang mendapat tempat kedua dalam pilihan raya tahun lalu.
Paetongtarn ialah orang ketiga daripada keluarga Shinawatra yang menjadi perdana menteri dalam tempoh dua dekad.
Tiga lagi, termasuk bapanya dan Yingluck digulingkan oleh tentera.
Paetongtarn, graduan daripada United Kingdom terlibat dalam perniagaan hotel keluarga Shinawatra.
Dia menyertai Pheu Thai pada 2021 dan dipilih sebagai ketua tahun lepas.
Sementara itu, Bernama melaporkan Paetongtarn merancang untuk memperkasa dan meningkatkan kualiti hidup semua rakyat Thailand apabila dia secara rasmi mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri Thailand.
Paetongtarn menzahirkan kegembiraannya hari ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua wakil rakyat yang mengundi beliau.
"Saya dan pasukan komited untuk melaksanakan tugas kami sebaik mungkin, tanpa mengambil kira cabaran yang akan datang.
"Saya benar-benar berharap dapat menyemai keyakinan dalam kalangan rakyat.
"Kami berhasrat untuk mencipta peluang dan meningkatkan kualiti hidup untuk memperkasakan semua rakyat Thailand," katanya dalam sidang media selepas mendapat undian meyakinkan di Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri Thailand yang ke-31 pada Jumaat.
Paetongtarn, 37, turut menyatakan rasa terima kasihnya kepada bekas Perdana Menteri Srettha Thavisin, yang bekerja tanpa lelah selama hampir setahun, dan berkata beliau bersedia untuk bekerja keras demi rakyat.
"Saya berada di sini hari ini untuk mengucapkan terima kasih. Kami akan berbincang mengenai anggota Kabinet dan dasar selepas mendapat perkenan diraja.
"Saya bercakap dengan ayah saya melalui FaceTime. Beliau menasihatkan saya untuk melakukan yang terbaik sebaik sahaja menerima perkenan diraja. Seperti yang anda tahu, ibu saya sentiasa bimbang tentang saya," katanya.
Sebagai "pendatang baharu” dalam arena politik, Paetongtarn, anak bongsu bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra berkata beliau bersedia untuk menggalas amanah yang berat itu.
"Dalam politik, saya tidak melihat diri saya sebagai yang terbaik, tetapi saya percaya pada kekuatan pasukan kami.
"Kami bertuah mempunyai pasukan yang kuat dan berpengalaman, dan dengan mereka, saya percaya kami akan mencapai kejayaan," katanya.
Terdahulu, Paetongtarn yang mengetuai parti terbesar dalam gabungan pemerintah yang dianggotai 11 parti, berjaya memperoleh 319 undi dengan 145 undi menentang dan 27 berkecuali semasa undian Parlimen untuk memilih Perdana Menteri baharu.
Dengan keputusan ini, beliau melepasi 247 undi yang diperlukan untuk menjadi Perdana Menteri dan membentuk kerajaan seterusnya.
Pemimpin itu akan menggantikan Srettha, yang disingkirkan daripada jawatan oleh Mahkamah Perlembagaan pada Rabu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai