Jimatkan kos: Agensi k'jaan akan kongsi pejabat di luar negara, kata PM
Dalam satu langkah yang dikatakan akan membantu Putrajaya mengoptimumkan sumber dan menjimatkan kos, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan empat agensi kerajaan yang ditugaskan untuk menarik pelaburan dan pelancongan akan berkongsi pejabat di luar negara mulai tahun depan.
Ia adalah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).
“Sebagai contoh di luar negara, kita ada Tourism Board, kita ada Matrade, kita ada Miti, selain daripada kedutaan
dan semuanya ada pejabatnya masing-masing.
“Mulai 1 Januari 2025, semua pejabat di luar negara, Motac, Miti, Matrade dan Mida akan disatukan di bawah satu bumbung untuk menjimatkan belanja dan mengoptimumkan kos operasi.
“Dunia masih kecil, ekonomi dan teknologi kian canggih. tapi cara kita berfikir dan bertindak masih lagi usang,” kata Anwar pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 di Putrajaya, hari ini.
Tambah perdana menteri, penjawat awam perlu mengambil kira pulangan pelaburan atau return of investment apabila beroperasi bagi mengelakkan kerugian wang pembayar cukai.
Dalam ucapannya, Anwar berkata kerajaan juga akan mengoptimumkan sumber manusianya dengan memindahkan kakitangan dengan bidang kerja yang bertindih, tidak lagi relevan dan terpencil dengan skim kerjaya lain.
Antara skim kerjaya yang akan terjejas di bawah langkah itu termasuk pemandu lokomotif, pengurus asrama, pengendali wayarles dan jurusolek.
“Ia akan memberikan laluan kerjaya lebih baik serta mobiliti yang lebih luas kepada penyandang,” kata Anwar lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai