Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Isu nasional tak gugat BN di Nenggiri

Isu nasional yang dibawa PN tidak menjejaskan sokongan pengundi DUN Nenggiri kepada BN, kata Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas Ahmad Zahid dia optimis calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani akan mencipta kemenangan dalam PRK DUN Nenggiri yang akan berlangsung pada 17 Ogos nanti.

"Pengundi di Nenggiri sangat bijak, isu-isu nasional yang dimainkan oleh mereka (PN) tidak meletak dalam pemikiran mereka (pengundi).

"Isu negeri mereka telah diketahui lama dan tak ada jawapan untuk penyelesaian dan kini menjadikan apa yang BN lakukan (sebagai sasaran)...

"Tetapi rakyat di Nenggiri ini dapat menilai kemampuan bukan sahaja calon itu tetapi pentadbiran dilakukan di peringkat negeri yang tak dapat menyelesaikan masalah dihadapi di Nenggeri dan di seluruh Kelantan," katanya ketika ditemui media.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas program Sambutan Hari Risda peringkat negeri Kelantan yang diadakan di Kampung Kuala Star, Gua Musang.

Hadir sama Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub yang juga pengerusi Felcra.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos tidak akan diadakan selepas kesemua 14 pengundi yang terbabit memilih mengundi secara pos.

Calon BN Mohd Azmawi bakal dicabar calon PN Mohd Rizwadi Ismail yang dipertaruhkan untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada Pengarah Jentera Pilihan Raya BN bagi PRK DUN Nenggiri, Tengku Razaleigh Hamzah atas komitmen yang diberikan.

"Sepanjang kempen PRK Nenggiri saya ucap terima kasih kepada Ahmad Jazlan sebagai pengarah operasi dan dan Ku Li dan jawatankuasanya yang bekerja keras untuk memenangkan calon BN.

"Kami telah berusaha bersunguh-sungguh bukan hanya sekadar menjelaskan isu yang dibangkitkan tetapi mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan yang timbul di seluruh 20 pusat daareah mengundi dinenggiri.

"Dan kini kami menyerahkan kepada Allah, pada kemenangan calon kita Mohd Azmawi, insya-Allah hari Sabtu nanti calon kita dapat mencapai kemenangan," katanya.