Jangan fanatik kepada parti, kata MP Bukit Gantang
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berharap pengundi di kawasan itu dapat menerimanya sebagai ahli parlimen bebas dan tidak bersikap fanatik dengan politik kepartian.
Menurutnya, rakyat yang terbuka minda mereka akan menilai seseorang wakil rakyat berdasarkan prestasi, bukan berdasarkan bendera dan logo parti.
"Rakyat ada pelbagai pandangan. Ada sebahagian penyokong fanatik yang hanya melihat parti sahaja. Ada yang realistik melihat apakah tugas seorang wakil rakyat dan cara perkhidmatannya kepada rakyat.
"Kalau rakyat membuka fikiran, mereka perlu melihat kepada tugas seseorang wakil rakyat. Itu yang sebenarnya mengikat pemimpin dengan rakyat.
"Tapi kalau jadi fanatik, masa depan negara akan menjadi masalah kerana mereka (penyokong) tak kira wakil rakyat itu berkhidmat atau tak, mereka sokong membuta tuli," katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas penerimaan pengundi Bukit Gantang selepas dia menjadi ahli parlimen Bebas.
Syed Abu Hussin merupakan salah seorang daripada enam ahli parlimen Bersatu yang diisytihar oleh speaker Dewan Rakyat Johari Abdul sebagai wakil rakyat Bebas selepas mereka hilang keahlian dalam parti itu kerana menyatakan sokongan kepada perdana menteri Anwar Ibrahim.
Selain Syed Abu Hussin, lima lagi ahli parlimen yang lain ialah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) sebelum diikuti empat yang lain iaitu Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Ketika di dalam Umno, Syed Abu Hussin pernah mencatat sejarah apabila Bukit Gantang menjadi satu-satunya kerusi parlimen yang berjaya dirampas daripada PH pada PRU 2018.
Namun pada PRU15, dia bertanding di bawah tiket PN dan mengekalkan kerusi Bukit Gantang bagi penggal kedua.
Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin berkata selaku ahli parlimen di Bukit Gantang tugasnya adalah membantu rakyat.
"Seorang ahli parlimen yang bertanggungjawab tugasnya adalah untuk membantu rakyat. Jadi saya teruskan khidmat saya di Bukit Gantang.
"Sebenarnya di Malaysia, rakyat sangat bergantung kepada wakil rakyatnya. Saya sebagai seorang ahli parlimen yang menyokong perdana menteri di mana dengan cara itu saya telah mengorbankan diri saya sehingga mereka mengatakan saya melompat, mengkhianati.
"Tetapi sebenarnya saya nak pastikan rakyat di kawasan saya mendapat bantuan. Alhamdulillah kita tengah bantu sekarang ini," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai