Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

‘Hindu lives matter’ - aktivis demo depan kedutaan Bangladesh 

Lebih 100 orang berhimpun di hadapan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia bagi menyatakan bantahan terhadap keganasan terhadap penganut Hindu di Bangladesh serta kegagalan Malaysia mengutuk serangan itu.

Mereka terdiri daripada 35 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil memulakan berdemontrasi sekitar jam 10.45 pagi sambil dikawal pihak polis.

Sebahagian mereka dilihat mempamerkan sepanduk antaranya tertera ungkapan respect humanity (hormat kemanusiaan), all lives matter (semua nyawa berharga) dan Hindu lives matter (nyawa orang Hindu berharga).

Turut hadir Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia (GHRF) S Shashi Kumar dan Pengerusi Parti Urimai Selangor K Kunasegaran.

Serangan terhadap penganut Hindu dilaporkan berlaku selepas perdana menteri Sheikh Hasina dijatuhkan. 

Penduduk Hindu dilihat sebagai penyokong parti Hasina, Liga Awami. 

Anwar dan pemimpin sementara Bangladesh

Semalam Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan pemimpin sementara Bangladesh Muhammad Yunus memberitahunya bahawa hak rakyat Bangladesh termasuk golongan minoriti akan dilindungi. 

Kelmarin, bekas anggota parlimen DAP Charles Santiago menggesa Anwar bersuara untuk menamatkan keganasan terhadap golongan Hindu di negara itu.

Tak puas hati selagi Anwar tak kutuk kekejaman

Sementara itu, Shashi berkata mereka tidak akan berpuas hati selagi kerajaan Malaysia tidak tampil mengutuk kekejaman terhadap minoriti rakyat beragama Hindu di Bangladesh. 

Tegasnya, perdana menteri seharusnya bersikap adil seperti solidariti yang dilakukan susulan kekejaman Zinonis terhadap Palestin.

“Perdana menteri tidak memberi sebarang kenyataan mengutuk serangan itu. Tak kisah agama siapa, Buddha, Hindu atau siapa saja, perbuatan membunuh, merogol, membakar ini harus dikutuk,” katanya.

“Sebab Malaysia turut menganggotai The United Nations Human Rights Council (UNHRC), tetapi sehingga kini perdana menteri tidak mengutuk langsung sepertimana dia mengutuk kekejaman dihadapi Palestin oleh Zionis.”

Protes antikerajaan di Bangladesh

Katanya, Malaysia dan Bangladesh sama-sama berada dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan sudah bekerjasama sejak 1971.

“Jadi kepada Anwar tidak mengadakan perbincangan di OIC sebagaimana dia buat untuk Palestin.

“Sedangkan dia mempunyai pengaruh, jadi apa pendirian Malaysia? 

“Apa yang kita tunjuk kepada golongan minoriti sebagai sebuah negara berbilang kaum?” soalnya ketika diminta mengulas mengenai objektif himpunan berkenaan.

Terdahulu tiga wakil NGO diberi kebenaran untuk menyerahkan memorandum kepada wakil Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh, Habibur Rahman Bhuiyan.

Pihak polis kemudiannya meminta mereka bersurai dengan aman sekitar jam 11.45 pagi.