Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Wanita dipanggil polis walau tak terlibat perhimpunan - PSM

Isteri seorang anggota PSM dipanggil polis untuk memberi keterangan walaupun tidak terlibat dalam perhimpunan aman anjuran parti itu.

Menurut Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, Rajeswary Seniar dan suaminya Vijayagandi Ramasamy hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya petang tadi.

Peguam PSM, Shashi Devan berkata, telefon Vijayagandi turut dirampas.

Dalam kenyataan terdahulu, Arutchelvan berkata: "Tindakan ini, bersama dengan banyak tindakan lain dalam beberapa minggu kebelakangan ini, nampaknya menunjukkan bahawa polis dan kerajaan Madani membawa (negara) kita ke arah keadaan yang lebih menindas.

"Begitu banyak dana dan sumber awam dibazirkan untuk perkara-perkara remeh seperti ini.

"Sudah tentu, mengejutkan bahawa semua ini berlaku di bawah kepimpinan Perdana Menteri 'reformasi' Anwar Ibrahim."

Pada 25 April lalu, Arutchelvan dan Vijayagandi bersama kira-kira 100 penternak lembu dari Gabungan Penternak Marhaen menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Vijayagandi ialah Koordinator Gabungan Penternak Marhaen dan ahli PSM.

Dokumen 11 muka surat itu meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, campur tangan dalam Program Zero Cattle (ZCP) yang didakwa dijalankan oleh Sime Darby Plantation, yang dianggap sebagai tindakan kejam.

Kebimbangan utama mereka adalah mengenai notis-notis terkini yang dikeluarkan oleh syarikat itu yang melarang ternakan dari meragut di ladang milik Sime Darby.

Dalam kenyataannya, Arutchelvan berkata peguam PSM, Shashi Devan, telah menghantar surat kepada polis untuk mendapatkan penjelasan mengapa Rajeswary diminta hadir di Putrajaya.

Dia berkata Shashi kemudian menerima surat bertarikh 9 Ogos yang menyatakan bahawa pasangan suami isteri itu disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang mengkehendaki penganjur perhimpunan memberi notis 10 hari terlebih dahulu kepada polis.

Selain itu, Arutchelvan berkata polis turut mendakwa siasatan melibatkan halaman Facebook Jaringan Penternak Marhaen.

Namun katanya Rajeswary tidak terlibat dalam mengendalikan halaman Facebook itu.

"Ini agak membingungkan kerana halaman Facebook itu hanya mempunyai 187 pengikut setakat ini.

"Juga, kami agak pasti tiada orang awam yang membuat laporan, mungkin laporan itu dibuat oleh polis sendiri," katanya.

Shashi kemudiannya berkata laporan itu dibuat oleh seorang pegawai polis.

“Amalan seperti ini, membuat laporan dan kemudian memanggil untuk siasatan adalah satu bentuk gangguan,” katanya.

[Baca berita asal]