Nahas pesawat di Elmina: Laporan akhir beberapa hari lagi - Loke
Laporan akhir nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor yang meragut 10 nyawa pada 17 Ogos tahun lepas akan dikeluarkan dalam beberapa hari lagi, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
“Laporan itu akan dikeluarkan dalam beberapa hari lagi, sebelum genap setahun (nahas),” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan laporan nahas itu di Putrajaya hari ini.
Laporan Awal Kemalangan Pesawat oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) Kementerian Pengangkutan telah dikeluarkan pada 15 Sept tahun lepas.
Dalam kejadian itu, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Subang mengorbankan 10 nyawa iaitu lapan penumpang (enam penumpang dan dua anak kapal penerbangan) serta seorang pemandu e-hailing dan seorang penunggang motosikal (p-hailing).
Sementara itu, Loke berkata kerajaan sedang merangka undang-undang bagi mengenakan denda terhadap lelaki yang menceroboh koc merah jambu yang dikhususkan kepada penumpang wanita.
"Dari segi peraturan kita sedang merangka bentuk denda yang boleh kita kenakan. Sekarang ini, tak ada peraturan yang boleh kita denda lelaki (yang menceroboh koc wanita)," katanya.
Beliau turut meminta operator perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Transit Aliran Massa (MRT) untuk meningkatkan pemantauan terhadap koc wanita.
Loke berkata polis bantuan di stesen-stesen kereta api dan MRT juga perlu digerakkan lebih kerap untuk memastikan golongan lelaki tidak menceroboh koc wanita berkenaan.
Baru-baru ini tular satu rakaman video di media sosial memaparkan seorang lelaki bertindak menengking seorang wanita selepas ditegur berada di dalam koc yang dikhaskan untuk golongan wanita.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai