Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Guan Eng, peguam Papagomo bertikam lidah tentang siapa berbohong

Perbicaraan kes saman fitnah Lim Guan Eng dan anak lelakinya terhadap penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris menyaksikan pengerusi DAP itu bertikam lidah dengan peguam bekas exco Pemuda Umno tersebut tentang siapa yang berbohong.

Perang mulut tercetus semasa pemeriksaan balas apabila peguam Logen Eskander Abdullah yang mewakili Wan Muhammad Azri mengajukan beberapa soalan berhubung dakwaan Lim bahawa penulis blog itu membuat dakwaan pencabulan seksual yang dikaitkan dengan anak Lim.

Pada 2011, salah seorang daripada tiga anak Lim, yang berusia 15 tahun ketika itu didakwa mencabul seorang rakan sekelasnya.

Semasa di kandang saksi, Lim menjawab bahawa anaknya masih di bawah umur ketika dakwaan itu dibuat oleh Wan Muhammad Azri, dan mesti berhati-hati kerana ia melibatkan g kanak-kanak.

Lim: Kamu berbohong di mahkamah.

Logen: Tarik balik kenyataan itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Eddie Yeo kemudiannya terpaksa menghentikan prosiding buat seketika bagi meredakan keadaan yang semakin hangat.

Apabila Yeo memanggil semula prosiding kira-kira 15 minit kemudian, pesuruhjaya kehakiman mengingatkan pihak-pihak supaya mematuhi kesopanan dan kebijaksanaan semasa perbicaraan.

Yeo juga mengarahkan Lim menarik balik kenyataannya yang mendakwa Logen berbohong, dan ahli Parlimen Bagan itu berbuat demikian.

Lim dan salah seorang anaknya, Clint menyaman Wan Muhammad Azri kerana mendakwa remaja itu pada 29 Feb 2020 membawa masuk RM2 juta ke Singapura tanpa mengisytiharkannya.

Clint mendakwa dia difitnah dengan tuduhan bahawa dia telah ditahan oleh pihak berkuasa Singapura ketika itu kerana membawa masuk wang yang tidak diisytiharkan.

Lim pula mendakwa dia difitnah atas dakwaan bahawa dirinya kemudian terbang ke Singapura untuk cuba menyelamatkan anaknya.

Lim menuntut ganti rugi RM3 juta daripada Wan Muhammad Azri, yang dikenali ramai sebagai Papagomo.

Tindakan sivil tertumpu pada hantaran di Facebook bertarikh 14 Mac 2020.

Dalam pembelaannya, Wan Muhammad Azri membangkitkan pembelaan justifikasi dan komen adil sebagai pembelaan alternatif kepada dakwaan utamanya bahawa hantaran dalam talian itu berasal daripada akaun yang bukan di bawah kawalannya.

Lim diwakili peguam Simon Murali.