Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Saman fitnah: Bekas IGP dah nafi anak saya ditahan di Singapura - Lim

Lim Guan Eng berkata bekas ketua polis negara Abdul Hamid Bador telah menafikan dakwaan anak lelakinya pernah ditahan di Singapura berhubung wang tunai RM2 juta yang tak diisytihar, empat tahun lalu.

Bekas menteri kewangan itu berkata demikian dalam keterangannya dalam perbicaraan saman fitnahnya terhadap blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Lim berkata Abdul Hamid juga menafikan dakwaan yang dia ke Singapura untuk menyelamatkan anaknya pada 29 Februari 2020.

“Hamid Bador nafi saya ke Singapura untuk selamatkan anak saya. Dia sahkan dakwaan yang dibuat tak benar,” katanya.

Abdul Hamid menafikan dakwaan itu ketika dihubungi Malaysiakini pada 14 Mac 2020.

‘Di KL kerana Langkah Sheraton’

Ketika perbicaraan di depan pesuruhjaya kehakiman Eddie Yeo hari ini, Lim berkata dia tak mungkin dapat terbang ke Singapura ekoran krisis politik Langkah Sheraton pada masa itu.

“Sudah jadi pengetahuan umum yang Langkah Sheraton pada masa itu menyebabkan pertukaran kerajaan.

“Saya ada di Malaysia ketika itu untuk menangani krisis. Semua orang ada di Kuala Lumpur memandangkan kami menghantar surat kepada Agong berhubung calon perdana menteri seterusnya,” katanya lag.

Dalam saman fitnah itu, Lim menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta daripada Azri, yang sebelum ini menafikan dia penulis blog dengan nama Papagomo.

“Saya ingin memohon kepada mahkamah yang saya menuntut ganti rugi RM3 juta kerana ini melibatkan dakwaan daripada defendan yang anak saya ditahan di Singapura dengan wang tunai RM2 juta dan saya terpaksa ke Singapura untuk selamatkannya.

“Defendan banyak kali serang keluarga saya, dan (tuntutan) ini untuk mengalangnya daripada terus memfitnah kami,” kata Lim.

Dia juga mendakwa pada 2011, Azri juga membuat dakwaan di blognya yang salah seorang daripada tiga anak Lim yang ketika itu berusia 15 tahun, telah mencabul rakan sekelasnya.

“Ini telah dibuktikan tak benar oleh guru besar sekolah kerajaan tersebut. 

“Gambar yang ditunjukkan defendan sebagai individu yang didakwa sebagai mangsa, sebenarnya adalah seorang juara catur perempuan dari Hong Kong yang tak pernah ke Pulau Pinang,” katanya lagi.

Pada 2011, wanita tersebut, Anya Corke menafikan dia pernah menjadi mangsa anak Lim.

[Baca berita asal]