Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Don Daniyal, empat individu ditarik tauliah mengajar di S'gor

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menarik balik tauliah mengajar yang diberikan kepada pendakwah selebriti Don Daniyal Don Bijayid berkuat kuasa pada 24 Julai lalu.

Perkara tersebut disahkan Exco Agama Islam Selangor Mohammad Fahmi Ngah (gambar bawah) ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

"Sahih," katanya ringkas melalui balasan di aplikasi WhatsApp.

Terdahulu sekeping surat pemberitahuan mengenai perkara itu tular di media sosial.

Sebelum ini Don Daniyal dilanda kontroversi susulan ceramahnya yang disyaki membawa kepada pelanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Susulan itu pada Jun lalu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid, surau dan musolla bagi menangguhkan atau tidak mengundang penceramah itu untuk mengajar agama Islam di premis masing-masing.

Berdasarkan surat berkenaan selain Don Daniyal, empat individu lain turut disenaraikan iaitu Mohd Shahabudin Md Yatim, Mohd Udzair Mohamad Zaid, Muhammad Hairullah Hassim dan Syed Mohd Norhisyham Tuan Padang.

Surat tersebut turut memaklumkan agar semua masjid dan surau di negeri itu tidak mengundang individu-individu terbabit untuk mengajar.