Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

MCA sangkal mufti kata boleh ke rumah ibadat bukan Islam untuk dakwah

MCA menyangkal kenyataan Mufti Terengganu  Mohamad Sabri Haron bahawa umat Islam dibenarkan memasuki tempat ibadat bukan Islam jika tujuannya untuk berdakwah.

Kesal dengan kenyataan itu, naib presidennya Wee Jeck Seng berkata semua pihak perlu mengakui Malaysia adalah sebuah negara dengan kepelbagaian dan pandangan mana-mana agama tidak harus dipaksakan ke atas pihak lain.

"Dalam kehidupan seharian kita, ketika berinteraksi dan berurusan dengan orang lain, kita berusaha untuk menghormati orang lain. 

“Jadi mengapa dalam hal ehwal agama atau ketika pemimpin bercakap, semangat toleransi, kefahaman, dan hormat tidak dapat ditegakkan?" katanya dalam kenyataan berbahasa Cina, hari ini.

Terdahulu, Mohamad Sabri dilaporkan media sebagai berkata umat Islam tidak boleh pergi ke rumah ibadat agama lain tanpa tujuan.

"Datang memperkenalkan Islam dan untuk berdakwah, dibolehkan. Bukan tujuan menyatakan Islam sama dengan agama lain,” kata Mohamad Sabri.

Mengulas lanjut, Wee senada dengan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) yang berpandangan kenyataan itu boleh menjejaskan kesucian tempat ibadat bukan Islam dan menimbulkan suasana permusuhan antara agama. 

“Semua tempat ibadat adalah suci, dan setiap agama berhak menguruskan hal ehwalnya sendiri.

"Kita tidak boleh membiarkan ucapan provokatif dan tindakan ekstrem menjadi norma dalam masyarakat. 

“Ketika kita menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-67, kita seharusnya bergerak ke arah yang lebih terbuka dan progresif, menerima dan menghormati perbezaan kepercayaan setiap rakyat Malaysia agar dapat mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara,” katanya.

Dia juga berkata setiap lapisan masyarakat, termasuk pemimpin politik dan agama, tidak boleh mengelak daripada tanggungjawab untuk bersama-sama mengelakkan provokasi agama daripada memecahbelahkan masyarakat dan negara.