Rombakan kabinet: Saya tak dengar lagi, kata PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan spekulasi mengenai dakwaan akan berlaku rombakan kabinet, tidak lama lagi.
Bercakap kepada pemberita hari ini, Anwar berkata dia masih belum mendengar apa-apa mengenai rancangan rombakan kepimpinan kerajaan itu.
“Baru saya diberitahu. Macam mana saya tak dengar lagi?
“Siapa nak tolong reshuffle (rombak) tu? Saya tak dengar, serious ini, saya belum dengar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersilan Malaysia 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Ketika ditanya dakwaan seorang menteri besar juga akan dilantik menganggotai jemaah menteri, Anwar bagaimanapun, berkata perkara itu mungkin direalisasikan selepas pilihan raya umum (PRU).
“Boleh jadi lepas PRU, insya-Allah,” katanya.
Sebuah portal yang memetik sumber, hari ini melaporkan satu lagi rombakan kabinet bakal berlaku, kurang setahun sejak rombakan terakhir dilakukan.
Memetik sumber berpengaruh PKR, ia menyebut bahawa seorang menteri dari parti itu mungkin akan dipindahkan ke kementerian lain atau digugurkan.
“Prestasi individu ini dipersoalkan, dan dijangka akan digugurkan atau dipindahkan ke kementerian lain, kata sumber itu yang dipetik FMT.
Ia turut melaporkan seorang menteri besar dipercayai akan mengambil jawatan menteri, langkah yang dibincangkan sebelum rombakan kabinet pada Disember lalu.
Menurut portal itu, yang juga memetik sumber dari DAP bahawa terdapat perbincangan tentang rombakan kabinet yang mungkin berlaku menjelang akhir Ogos.
Dia mendakwa beberapa timbalan menteri dijangka dinaikkan pangkat ke jawatan menteri.
Kali terakhir Anwar merombak kabinetnya adalah pada Disember tahun lalu dengan menambahkan jumlah menteri daripada 29 orang kepada 31.
V Sivakumar dari DAP digugurkan sebagai menteri sumber manusia. Dia turut membawa bekas pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWSP Amir Hamzah Azizan sebagai menteri kewangan kedua.
Turut kembali sebagai menteri adalah Gobind Sing Deo dari DAP sebagai menteri digital, Dzulkefly Ahmad dari Amanah sebagai menteri kesihatan dan Johari Ghani dari Umno sebagai menteri perladangan dan komoditi.
Beberapa menteri juga bertukar portfolio.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai