Mahkamah nafikan percubaan kedua hentikan PRK Nenggiri
Mahkamah sivil untuk kali kedua menafikan satu lagi permohonan bekas Adun Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim untuk menghentikan pilihan raya kecil negeri (PRK) Sabtu ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menolak permohonan injunksi Azizi yang berkaitan dengan saman utamanya yang berdasarkan pemberhentian keahlian Bersatunya.
Speaker DUN Kelantan mengisytiharkan kerusi itu kosong, berikutan Bersatu menyatakan bahawa keahlian Azizi sudah terhenti. Hari penamaan calon berlangsung pada 3 Ogos, dan kempen pilihan raya sedang berlangsung.
Pada 27 Jun lalu, mahkamah sivil menafikan percubaan awal Azizi untuk menghentikan PRK itu, sementara menunggu penyelesaian saman utamanya terhadap Bersatu.
Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain pagi ini memutuskan bahawa undang-undang tidak membenarkan injunksi terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang menjalankan fungsi penting dalam proses demokrasi.
Dia mendapati Azizi gagal memenuhi keperluan bagi mahkamah membenarkannya memperoleh injunksi sementara berkenaan.
Roz Mawar berkata, permohonan injunksi itu menimbulkan isu perlembagaan kompleks yang lebih sesuai ditangani dalam saman pemula utama.
Tambahnya, Azizi boleh menawarkan dirinya sebagai calon pada hari penamaan calon, tetapi tidak berbuat demikian.
“Kegagalannya menawarkan diri sebagai calon bermakna dia tidak lagi berminat untuk bertanding di kerusi Nenggiri,” kata Roz Mawar.
"Pilihan raya kecil menentukan kehendak bebas rakyat untuk menerima atau menolak plaintif (Azizi) yang mewakili mereka," kata pesuruhjaya kehakiman itu.
Roz Mawar kemudian memerintahkan Azizi membayar RM30,000 kepada defendan iaitu SPR, Speaker DUN Kelantan dan Bersatu.
Mahkamah sivil kemudian menetapkan 18 Dis untuk mendengar tuntutan utama Azizi yang berasaskan pemberhentian keahlian Bersatunya.
Peguam Rajan Navaratnam mewakili Azizi. Peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi mewakili SPR.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai