Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Dakwaan kafir harbi: Tiga pemimpin Melayu DAP buat laporan polis

Tiga ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP yang beragama Islam tampil membuat laporan polis terhadap dua individu yang melabel parti itu sebagai ‘kafir harbi’.

Ketiga-tiga mereka - Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan, dan Young Syefura Othman - hadir di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini bagi memebuat laporan berkenaan.

Bercakap kepada pemberita, Young Syefura berkata laporan itu dibuat berdasarkan video daripada ucapan yang disampaikan dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri.

“Ini (kafir harbi) adalah kenyataan terang-terangan yang jelas membahayakan keselamatan kita, dan merosakkan reputasi kita sebagai pemimpin Islam DAP,” kata Ahli Parlimen Bentong itu.

Selain daripada video pertama, dia memetik satu lagi video Adun Rembia Jailani Khamis yang juga membuat dakwaan yang sama terhadap DAP.

“Disebabkan kenyataan sedemikian mungkin jika saya keluar bersendiri di suatu tempat, seseorang boleh membuat keputusan untuk bertindak terhadap saya.

“Jadi itu bahaya. Walaupun ia dibuat dalam ceramah politik, mereka tetap perlu bertanggungjawab,”katanya.

Menghuraikan definisi ‘kafir harbi’, Sheikh Umar berkata dari segi sejarah ia merujuk kepada kerajaan bukan Islam yang menentang orang Islam yang tinggal di kawasan yang sama atau kawasan lain.

“Mereka (bukan Islam) berpotensi mengancam nyawa orang Islam, atau mengisytihar perang.

“Maka ketika itulah ulama Islam muncul dengan perbezaan ‘kafir harbi’ dan lain-lain,” katanya.

Tetapi dalam konteks semasa di Malaysia tambahnya, kita mempunyai Perlembagaan Persekutuan yang diterima oleh semua termasuk semua parti politik.

“Jadi label ‘kafir harbi’ adalah keji, sangat berbahaya dan boleh menyemai benih kebencian,” tegas bekas Adun Paloh itu.

Semalam, Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri Annuar Musa mengesahkan seorang ahli PAS dari Bachok, yang membuat ucapan berkenaan, telah "digantung" daripada berkempen selama tiga hari.

Dia bagaimanapun menegaskan PAS tidak perlu memohon maaf kepada DAP.

Dalam kenyataan berasingan, gabungan reformasi pilihan raya, Bersih berkata ucapan sedemikian boleh dilihat sebagai satu kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya 1954.

“Bersih mengingatkan semua pihak, khususnya yang berada di Nenggiri, supaya bersederhana dalam kempen politik mereka,” kata Bersih.