Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Pecah tanah 4 tahun lalu, satu kilang pun tak ada - Adun Galas

Adun Galas Mohd Syahbuddin Hashim menyoal kelewatan pembinaan Bandar Perabot Gua Musang yang masih belum dilaksanakan meskipun majlis pecah tanah telah berlangsung selama empat tahun.

Dia juga berkata syarikat pemaju juga telah diberikan tanah bagi tujuan penerokaan hutan seluas 2,889 ekar.

Katanya, syarikat pemaju juga turut diberikan tanah seluas 350 ekar bagi tujuan pembinaan kilang di Bandar Perabot berkenaan.

"Persoalan saya, apakah kelulusan Projek Ladang Hutan 2889 ekar kepada syarikat MCkift Management Commitee Sdn Bhd ini sebahagian dari komitmen usahasama kerajaan negeri Kelantan untuk membolehkan Bandar Perabot ini menjadi kenyataan?

"Saya amat mengharapkan kewujudan Bandar Perabot ini menjadi kenyataan walau cepat atau lambat dan saya menaruh sedikit kebimbangan sebagai wakil rakyat Galas di Gua Musang, sekiranya nanti Bandar Perabot gagal tapi Projek Ladang Hutan sahaja yang menjadi kenyataan oleh pemaju atau penggerak projek.

"Saya sebagai Adun pembangkang BN negeri Kelantan mahu perkara ini dijawab terus oleh kerajaan negeri Kelantan dan saya tegaskan di sini saya mewakili suara semak dan imbang kerajaan negeri Kelantan.

"Maka, menjadi tanggungjawab saya untuk bertanya kepada kerajaan negeri Kelantan," katanya pada sidang media di Bukit Cekati, Gua Musang, hari ini.

Mohd Syahbuddin berkata dia pernah membangkitkan perkara itu pada persidangan DUN Kelantan dan kerajaan negeri memaklumkan kelewatan itu berpunca disebabkan Covid-19.

Katanya, Sultan Kelantan juga sudah dua kali bertitah mengenai projek yang mampu memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.

Projek pembinaan Bandar Perabot berkenaan terletak di kawasan perindustrian Gua Musang.

Mengulas lanjut Mohd Syahbuddin berkata melalui semakan EIA pihaknya mendapati terdapat tiga kelulusan tanah bagi perladangan hutan.

"Saya mengambil peluang untuk bertanyakan isu ini secara panjang lebar melalui sidang media kerana saya menyedari ruang yang terhad kepada saya diberikan semasa sidang DUN Kelantan berlangsung dalam menyatakan secara jelas mengenai perkara ini sebelumnya," katanya lagi.

Malah menurutnya projek jalan raya untuk ke kawasan berkenaan juga belum lagi dilaksanakan dengan baik dan jalan raya masih belum berturap.

Secara prinsipnya Mohd Syahbuddin berkata dia menyokong pembinaan Bandar Perabot berkenaan kerana ia memberi peluang pekerjaan kepada 1,500 pekerja.