Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

KPKT kaji pesalah buang sampah merata dihukum 'sapu jalan'

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kajian untuk meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) mencakupi seksyen berkaitan hukuman bagi pesalah yang membuang sampah merata-rata.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata KPKT menerusi pegawai undang-undang sedang mengkaji pindaan akta itu termasuk mengenakan denda melakukan khidmat masyarakat kepada pesalah memandangkan kompaun tidak memberi kesan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Saya akan suruh dia (pesalah) buat khidmat sosial termasuk sapu jalan di bawah terik matahari, saya minta buat iklan percuma TikTok, media sosial untuk ‘ulat-ulat’ sampah suka buang sampah di merata tempat.

“Siapa yang buang sampah, arahan telah pun dikeluarkan kepada PBT (pihak berkuasa tempatan) termasuk Majlis Daerah Kampar, tidak boleh bagi diskaun untuk kompaun,” katanya pada sidang media selepas Program Sentuhan Kasih KPKT di Kampar hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media mengenai keindahan kebanyakan pantai tumpuan pelancong di Malaysia terus dicemari puntung rokok yang dibuang merata-rata sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesan sampah itu kepada alam sekitar.

Nga turut diminta mengulas dakwaan terdapat sesetengah PBT menetapkan kempen larangan merokok di pantai, namun lemah dari segi penguatkuasaan iaitu sekadar memberikan nasihat dan tidak mengenakan kompaun.

Pindaan akta itu juga setelah melihat beberapa negara maju berjaya mendidik masyarakat dengan memberi hukuman khidmat sosial kepada pesalah yang membuang sampah merata-rata.

“Kita boleh menjimatkan kos untuk mengupah pencuci jalan, saya rasa itu cara yang baik untuk terus mendidik.

“Saya percaya apabila kita sudah melaksanakannya, selepas beberapa kes tiada siapa lagi akan berani untuk membuang sampah (merata-rata),” katanya.

- Bernama