Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Awie janji mesin ATM untuk warga Nenggiri

PRK NENGGIRI | Calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani akan berusaha untuk mendapatkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang menjadi keperluan mendesak warga Nenggiri.

Mohd Azmawi berkata perkara itu dibangkitkan penduduk Nenggiri ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.

"Rintihan daripada orang-orang kawasan Nenggiri di kawasan Jeram, Bertam dan sekitar yang inginkan mesin ATM.

"Insya Allah ambo (saya) akan usahakan segera untuk adakan mesin ATM di kawasan berkenaan.

"Ambo akan hubungi pihak bank-bank yang boleh membantu kita dalam mengadakan dan menjadikannya satu realiti untuk mesin ATM dekat dengan adik kakak," katanya dalam satu video kempen yang dimuatnaik di media sosialnya.

Sebelum ini media tempatan melaporkan penduduk di DUN Nenggiri memerlukan kemudahan mesin ATM dan stesen minyak untuk kehidupan mereka.

Penduduk mendakwa mereka perlu ke bandar Gua Musang sejauh lebih 50 kilometer (km) dan memandu hampir 45 minit untuk ke mesin ATM berhampiran.

Malah ada yang perlu menaiki bot sejauh 30 minit kemudian menaiki kereta api selama sejam semata-mata untuk mendapatkan kemudahan mesin ATM.

Stesen minyak terdekat pula sekitar 30 km dan ini menyebabkan penduduk sentiasa berdepan pelbagai kesulitan dan masalah.