Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Annuar cabar BN buktikan PAS kempen guna aset k'jaan Kelantan

PRK NENGGIRI | Annuar Musa mencabar Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan bukti yang kerajaan PAS Kelantan menggunakan aset kerajaan ketika berkempen di Nenggiri.

Pengarah Operasi PN bagi PRK DUN Nenggiri, berkata Ahmad Zahid perlu kemukakan bukti seperti mana dia mendedahkan penyalahgunaan aset kerajaan oleh BN.

“Tunjukkanlah kalau kita (kerajaan negeri Kelantan) ada (guna aset kerajaan) tegurlah. Tegur, kita akan baikilah kalau ada.

"Tapi jangan sebut sahaja tak ada bukti. Saya dah up dalam Facebook saya bukti penyalahgunaan bangunan dan kenderaan kerajaan pusat (oleh BN),” katanya kepada media selepas ceramah di Jeram Tekoh malam tadi.

Semalam Ahmad Zahid yang juga presiden Umno menyatakan kesedian untuk menyiasat dakwaan kononnya partinya telah menggunakan aset kerajaan ketika kempen PRK DUN Neggiri.

Pengerusi BN itu berkata parti lawan boleh mengemukakan laporan kepada pihak berkuasa jika benar terdapat penggunaan aset kerajaan.

Pada masa sama Zahid turut menyoal jika kerajaan negeri Kelantan tidak menggunakan aset kerajaan negeri ketika berkempen.

"Saya akan lakukan siasatan perkara itu dan kalau mereka ada bukti mereka boleh kemuka ikut saluran perundangan bawah akta SPR.

"Jangan menuduh kita sahaja guna jentera kerajaan tapi bagaimana kerajaan Kelantan saya pasti ada," katanya kepada media selepas program Temu Mata di Renok Baru, Gua Musang.

Terdahulu Annuar pada hantarannya di Facebook menyiarkan gambar yang menunjukkan bangunan milik agensi kerajaan yang dihiasi dengan bendera dan sepanduk BN.

Ini dikatakan berlaku di Dewan Teratai, kawasan penempatan Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang.