Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Gelar DAP kafir harbi: PN 'gantung' ahli PAS 3 hari - Annuar

Anggota PAS dari Bachok yang menggelarkan DAP kafir harbi ketika menjadi pengerusi majlis pada satu ceramah kempen PRK DUN Nenggiri telah "digantung tugas selama tiga hari."

Pengarah Operasi PN bagi PRK Nenggiri, Annuar Musa berkata individu berkenaan tidak dibenarkan terbabit sebarang acara kempen bagi memastikan keadaan kembali tenang.

“Kelmarin kita gantung (rehatkan) seorang pengacara majlis ceramah kita sebab terlepas cakap. Tapi (pemimpin BN) yang tersasul sebut hidup Israel masih kekal pegang jawatan lagi.

"Juru acara majlis sahaja semalam tersasul sikit padahal ayat dia pun tak salah boleh betul lagi, pada dia berpendapat DAP ini kafir harbi.

"Boleh bahas lagi tapi sebab kita rasa kasar kita minta rehat dulu, ibarat macam main hoki keluar padang sebentar,” kata Annuar ketika berucap di Jeram Tekoh malam tadi.

Semalam, para pemimpin Melayu DAP mengecam keras acara PN dalam kempen pilihan raya kecil Nenggiri di Kelantan malam tadi yang menggelar DAP sebagai “kafir harbi”.

Anggota parlimen DAP Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman serta pemimpin pusatnya Sheikh Umar Bagharib Ali berkata menurut fiqah klasik, golongan yang berperang dengan orang Islam itu halal darahnya.

“⁠Justeru, kenyataan melampau yang muncul menerusi rakaman video ceramah PAS di Nenggiri itu adalah sesuatu perbuatan takfiri (mengkafirkan) terhadap ahli-ahli parti DAP yang beragama Islam yang langsung tidak boleh diterima,” kata mereka.

PAS tak perlu minta maaf

Ceramah itu disiarkan langsung di Youtube KelantanTV malam tadi.

Sementara itu, Annuar ketika ditemui media selepas ceramah itu berkata kenyataan itu keluar daripada ahli partinya dan ia bukan pendirian parti itu.

Katanya, tiada keperluan untuk PAS memohon maaf seperti desakan DAP.

"Tak berbangkit, ucapan itu daripada satu individu. Ucapan itu masih subjektif dan kita suruh cool off sahaja.

"Ya tidak (mewakili parti), tak perlu (minta maaf) ia subjektif, benda politik," katanya lagi.