Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Mahkamah boleh buat perbicaraan adil kes Daim, Nai'mah - DPP

Mahkamah jenayah mampu menjalankan perbicaraan yang adil terhadap Daim Zainuddin dan isterinya, Na'imah Abdul Khalid, kata pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata hakim sama akan mengadakan perbicaraan berasingan bagi kes pendedahan aset terhadap bekas menteri kewangan itu dan isterinya.

DPP berhujah demikian sebagai respons kepada permohonan Daim supaya hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi tidak mendengar kes terhadap hartawan itu.

Azura juga merupakan hakim perbicaraan bagi kes pendedahan aset terhadap Na'imah.

"Ini bukan perbicaraan bersama kerana kes akan dibicarakan secara berasingan.

"Kita tidak boleh membenarkan permohonan ini kerana ia akan membayangkan mahkamah tidak boleh bertindak adil atau membezakan antara keterangan (saksi berbeza terhadap Daim dan Na'imah).

"Permohonan ini harus ditolak dan kes Daim diteruskan di mahkamah ini," kata Wan Shaharuddin di hadapan Azura.

Pendakwa raya menambah bahawa perbicaraan yang adil adalah terjamin kerana kes Daim dan Na'imah adalah berdasarkan fakta dan keadaan yang berbeza.

Azura kemudian menetapkan 27 Ogos untuk memutuskan sama ada untuk memindahkan kes Daim kepada hakim Mahkamah Sesyen lain.

Daim dan Na'imah berdepan pertuduhan atas dakwaan gagal mematuhi notis SPRM bagi pasangan itu mendedahkan aset mereka.

Daim didakwa gagal mendedahkan aset merangkumi 38 syarikat, 25 keping tanah dan hartanah, tujuh kenderaan mewah, dan dua akaun dana pelaburan.

Na'imah didakwa gagal mendedahkan aset yang melibatkan pelbagai tanah, hartanah dan kenderaan mewah.

Kedua-dua mereka didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen antara 23 dan 29 Jan.

Pertuduhan terhadap Daim, 85, dan Na'imah, 66, itu didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 13 hingga 14 Dis tahun lepas, dan sekiranya sabit kesalahan pasangan itu boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM100,000.

Daim dibebaskan dengan ikat jamin RM280,000, manakala Na'imah diikat jamin RM250,000.