Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

‘Biar Amanah dan Umno bersaing secara sihat untuk PRK Mahkota’

Walaupun kini sekutu dalam kerajaan, Amanah dan Umno perlu dibenarkan untuk “bersaing secara sihat” dalam PRK Mahkota di Johor yang bakal diadakan, kata seorang tokoh DAP negeri itu.

Bekas pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau berkata persaingan seumpama itu boleh menjadi “lapangan ujian ke atas satu enigma politik yang sofistikated”.

“Falsafah PH dan BN tidak sama namun selepas penubuhan kerajaan gabungan di peringkat persekutuan, kedua-dua gabungan masih boleh bekerjasama atas kepentingan bersama negara dan rakyat.

“Maka, Johor boleh terus melangkah ke depan jika kerjasama antara gabungan dan persaingan sihat dapat dikekalkan antara PH dan BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Boo berkata, aturan seumpama itu bukanlah sesuatu yang baru memandangkan bekas perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein pernah menubuhkan dan memimpin kerajaan perpaduan dahulu.

“Maka, keadaan semasa di Johor bukanlah pelik dan PH dan BN patut mengekalkan hubungan di peringkat persekutuan…sementara mengekalkan hubungan semak dan imbang serta persaingan sihat di Johor,” katanya lagi.

Terdahulu, Amanah Keluang mempertahankan hasrat untuk bertanding dalam PRK di DUN itu.

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong pula berkata pihaknya berpegang kepada prinsip "penyandang" dengan parti yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya sebelumnya akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil nanti.

Memetik prinsip tersebut, Boo menggesa PH Johor terus berusaha untuk menang di negeri itu dengan majoriti yang lebih besar berbanding ketika PRU 2018.

Dia berkata naratif bahawa penyandang kerusi kekal bertading di situ tidak baik untuk kepentingan jangka panjang parti komponen PH serta perkembangan demokrasi di Johor.

“Bagi membolehkan ‘teori penyandang’ terpakai, berdasarkan keadaan semasa, DAP Johor hanya boleh bertanding di 10 kerusi DUN yang dimenanginya sebelum ini, dalam PRK atau PRN akan datang.

“Ini bermakna DAP tidak dapat memenangi semula kesemua 14 kerusi yang pernah dimenangi sebelum ini, sementara PKR dan Amanah hanya boleh bertanding di satu kerusi.

“Maka, ‘teori penyandang’ tidak akan membolehkan PH mentadbir Johor, mahupun untuk mendapat kuasa tawar-menawar yang mencukupi dalam rundingan untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan di Johor,” katanya lagi.