Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Isu pekerja kontrak: K'jaan ingkar undang-undang sendiri, dakwa JPKK

Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) mendakwa kerajaan melanggar undang-undang sendiri berkenaan dengan pekerja kontrak.

Ini kerana pekerja kontrak jangka tetap kerajaan sebenarnya merupakan pekerja tetap, dakwa perunding JPKK, Sivarajan Arumugam.

"Ini yang kita panggil dalam terminologi hubungan industri sebagai menyamarkan kerja tetap sebagai kontrak jangka tetap.

"Ia salah. Isunya pihak yang melakukan perkara ini majikan utama. Siapakah majikan utama? Kerajaan.

Gambar fail, bantahan JPKK isu pekerja kontrak kerajaan.

"Jadi, kerajaan melanggar undang-undang sendiri," kata Sivarajan pada majlis pelancaran laporan JPKK hari ini.

Sivarajan, yang juga ahli jawatankuasa eksekutif pusat Parti Sosialis Malaysia berkata penyamaran ini melanggar Seksyen 11 Akta Kerja 1955, yang menyatakan kerja kontrak mesti menyebutkan kerja yang dilakukan dan tempoh masa.

Bagaimanapun, para pekerja ini sering diambil bekerja secara kontrak untuk tempoh dua atau tiga tahun, satu prosedur standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan, katanya.

Apabila kontrak-kontrak ini tamat para pekerja ini diikat pula dengan kontrak baru di bawah kontraktor yang berbeza, jelasnya lagi.

Senioriti pekerja

"Sekolah yang sama, pekerja yang sama. Tapi majikan yang akan datang dan pergi.

"Jadi masalah yang kita lihat adalah setiap kali satu kontraktor masuk, mereka menjadi pekerja yang baru. Inilah isunya.

"Jadi, seluruh pengalaman kerja dan senioriti mereka hilang begitu sahaja,” katanya lagi.

Ini kata Sivarajan menghalang pekerja daripada menikmati manfaat pekerjaan tetap seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pekerjaan, yang termasuk kenaikan gaji, bonus dan sebagainya.

JPKK sebelum ini telah melancarkan dua laporan pada tahun 2019 mengenai nasib pekerja kontrak.

Ia mengenai penyumberan luar sistem sokongan perkhidmatan kerajaan kepada kontraktor swasta untuk mengurangkan perbelanjaan.

Laporan terbaru yang dilancarkan hari ini menumpukan pada demografi dan pengalaman pekerjaan pekerja kontrak, khususnya tukang cuci sekolah, tukang kebun dan pengawal keselamatan.