'Biar MIC tentukan kedudukan dalam BN dulu sebelum bincang soal kerusi'
MIC perlu membuat keputusan berhubung kedudukannya dalam BN terlebih dahulu sebelum membincangkan soal pengagihan kerusi untuk PRU akan datang, kata presidennya SA Vigneswaran.
Kenyataan Vigneswaran itu menimbulkan persoalan jika MIC mungkin akan meninggalkan BN selepas berada dalam gabungan itu dan sebelumnya Perikatan sejak 72 tahun lalu.
"Biar kami selesaikan MIC berada di gabungan mana dulu (pada PRU16). Nanti, saya beritahu berhubung pengagihan kerusi," katanya kepada pemberita di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur, hari ini.
Bagaimanapun, Vigneswaran berkata buat masa ini MIC kekal menyokong kerajaan sekarang.
"Masih ada masa yang panjang. Buat masa ini, kami menyokong kerajaan sedia ada," katanya.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Umno Kota Raja agar kerusi Parlimen Kota Raja atau satu kerusi DUN dalam Parlimen itu diperuntukkan kepada mereka dalam PRU akan datang.
Kota Raja adalah kerusi Parlimen yang mempunyai peratusan pengundi India dan secara tradisi, MIC mewakili BN untuk bertanding di situ.
Bagaimanapun, kali terakhir MIC menang di situ adalah pada PRU 2004 - dengan Vigneswaran sendiri sebagai ahli Parlimennya. Selepas itu, kerusi itu dipegang Pakatan Rakyat dan kemudiannya PH.
Pada Ahad lalu, Ketua Umno Kota Raja Tengku Zafrul Abdul Aziz meminta agar Umno bahagian itu diberikan kerusi Parlimen atau satu kerusi DUN di situ pada PRU16.
Hasrat itu mendapat sokongan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang berkata sesuai dengan realiti politik semasa yang dibina atas dasar kefahaman antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari pula berkata pihaknya sedia berbincang mengenai perkara itu.
Pada 19 Julai lalu, laporan Malaysiakini memetik sumber MIC sebagai berkata tidak mustahil untuk parti itu meninggalkan BN atas faktor pengagihan kerusi dan rasa dianaktirikan dalam kerajaan.
MIC tidak akan ke Nenggiri
Dalam perkembangan lain, Vigneswaran berkata MIC tidak akan menyertai kempen PRK Nenggiri yang ditandingi Umno memandangkan hanya ada seorang pengundi India di situ.
"Maka, kita tak ada kerja di sana," katanya.
Namun, dia berkata MIC sedia berkempen sekiranya BN bertanding dalam PRK DUN Mahkota yang akan diadakan.
"Di Mahkota, anggaran pengundi India seramai 5,144 orang. Maka, MIC perlu bekerja di sana khusus untuk mendampingi pengundi India," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai