'Ketua pengarah laut JLM diarah cuti lepas didakwa di mahkamah'
Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan Ketua Pengarah Laut Jabatan Laut Malaysia (JLM) Mohamad Halim Ahmed diarahkan bercuti susulan pendakwaan terhadapnya di Mahkamah Sesyen, Khamis lalu.
Jabatan itu adalah di bawah Kementerian Pengangkutan.
Loke berkata walaupun seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sedemikian, arahan cuti terhadap kakitangan awam yang berdepan pertuduhan jenayah adalah prosedur biasa.
Menurutnya, Mohamad Halim sudah diarahkan mengosongkan pejabatnya sementara perbicaraan terhadapnya berjalan.
"Dia sudah mengambil cuti walaupun doktrin yang mendapati dia tidak bersalah sehingga didapati bersalah masih lagi terpakai.
“Sementara kes itu berjalan di mahkamah, dia tidak akan melaporkan diri untuk bertugas," katanya kepada media selepas program Jabatan Pengangkutan Jalan di Gombak, hari ini.
Khamis lalu, Mohamad Halim, 57, didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menipu ketua pengarah JLM sebelumnya, Baharin Abdul Hamid berhubung surat pengecualian kepada syarikat perkapalan bagi membawa minyak gred berat di perairan negara tanpa kelulusan menteri pengangkutan, empat tahun lalu.
Pada masa itu, Mohamad Halim adalah bekas setiausaha Bahagian Maritim di Kementerian Pengangkutan.
Dia dituduh mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di depan hakim Anita Harun.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai