Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Kastam Pahang patahkan cubaan seludup 6.7 tan karkas babi

Aktiviti penyeludupan karkas babi dipercayai dari Thailand dipatahkan unit penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang di Lebuh raya Timur-Barat, dekat Gerik, Perak dalam satu operasi pada 17 Jul lalu.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman, berkata pihaknya melakukan serbuan ke atas sebuah lori 'bonded' di kilometer 131, laluan Jeli - Gerik, jam 5.30 pagi.

"Pemeriksaan itu dilakukan susulan intipan dan maklumat awam.

"Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 150 keping daging babi sejuk beku seberat 6.75 tan yang dianggarkan bernilai RM135,000.

"JKDM Pahang juga berjaya menahan pemandu dan kelindan lori terbabit yang berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan," katanya dalam sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini.

Mohd Asri memaklumkan, siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

Katanya, tindakan suspek membawa masuk karkas babi seludup tersebut tidak memenuhi kriteria berdasarkan Butiran 1, Bahagian 1, Jadual Ketiga Perintah Larangan Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

"JKDM percaya daging ini dibawa dari Thailand dan sedang dalam perjalanan ke sebuah negeri di utara," jelasnya.

Dalam kes berasingan, Mohd Asri memaklumkan JKDM Pahang berjaya merampas 1,313,100 batang rokok seludup dalam dua pemeriksaan berasingan pada 16 dan 17 Jul lalu.

Katanya, dalam pemeriksaan pertama pada jam 2 petang bahagian penguat kuasa JKDM Pahang mematahkan cubaan mengedar rokok seludup menggunakan motolori di Taman Sri Mahkota, dekat Kuantan.

"Motolori itu ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan dan hasil pemeriksaan menemui rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM100,800.

"Nilai cukai dan duti rokok itu pula dianggarkan RM841,680," katanya.

Dalam pada itu, pemeriksaan ke atas sebuah kereta pada jam 2.30 petang 17 Jul di kilometer 129, Lebuh raya Segamat - Kuantan, dekat Muadzam Shah, Rompin pula membawa kepada rampasan 53,100 batang rokok seludup.

Katanya, seorang lelaki berusia 30-an ditahan dalam operasi berkenaan.

"Nilai rokok dirampas adalah RM5,617 dan membabitkan duti atau cukai dianggarkan berjumlah RM45,607,72," ujarnya.

Mohd Asri memberitahu, kedua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.