Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Ekonomi sebenar paling penting, kita di landasan baik - Amir Hamzah

Kejatuhan ketara pasaran saham Malaysia dan global ketika ini adalah bersifat sementara sebaliknya ekonomi negara berada di landasan yang baik, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Ini katanya, di sebalik ekonomi negara berdepan risiko kemelesetan di Amerika Syarikat (AS).

“Ekonomi sebenar adalah yang paling penting. Dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia memang kuat.

“Kita di landasan baik dan insya-Allah (ekonomi) kita akan terus berkembang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan KWAP Inspire 2024 di Kuala Lumpur, hari ini.

Amir Hamzah Azizan

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai impak kemungkinan kemelesatan AS terhadap ekonomi negara dan juga kejatuhan di pasaran saham di seluruh dunia, termasuk Malaysia yang ketara sejak minggu lalu.

"Ada beberapa peristiwa yang berlaku termasuk unjuran daripada AS yang menyaksikan kadar pengangguran meninggi sikit dan menyebabkan tahap keyakinan telah menurun.

“Terdapat juga jangkaan AS akan menurunkan kadar faedah. Kita lihat ada pegangan yang diambil, justeru, pasaran turun kerana settlement (penjualan) yang berlaku.

“Kita juga nampak kadang-kadang pelabur mengambil 'trading position' (kedudukan perdagangan) dan 'resettle trading position', jadi pasaran turun kerana 'resettlement' yang berlaku,” katannya.

Amir Hamzah berkata unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia bahawa ekonomi negara akan berkembang 5 peratus pada separuh pertama 2024, berada pada tahap tertinggi berbanding jangkaan Kementerian Kewangan sebanyak 4 peratus - 5 peratus.

“Sebab itulah, ringgit meningkat, bukan sahaja kerana AS ingin menurunkan kadar faedah tetapi turut kerana dasar yang bagus dibangunkan oleh kerajaan. 

“Kita lihat ada banyak perkembangan yang baik dan tahap keyakinan juga meningkat,” katanya. 

Mengulas lanjut mengenai kejatuhan pasaran saham global semalam, Amir Hamzah berkata ia berikutan pembetulan berlebihan dan bersifat sementara dengan prestasi Bursa Malaysia yang dilihat pulih hari ini. 

"Kalau jangka pendek ini kadang-kadang akan berlaku kerana pembetulan besar pasaran," katanya.

Pada 12.19 tengah hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 30.85 mata kepada 1,567.33 daripada 1,536.48 pada Isnin.

Jumaat lalu, dan awal minggu ini, pasaran saham utama di Asia mengalami kejatuhan besar akibat kebimbangan bahawa AS mungkin menuju ke arah kemelesetan.