Projek perumahan baru perlu ada blok untuk B40, M40
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan blok perumahan Madani untuk setiap projek baru, bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat memiliki rumah.
Katanya ia syarat penting yang ditetapkan bagi memastikan pemaju mendapat kelulusan projek perumahan baru.
"Setiap perumahan baru saya arahkan Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur buat perumahan yang ada tanah, ok, kita luluskan, kita boleh bagi kelonggaran, kita boleh cepatkan.
"Tapi syaratnya mesti ada satu dua blok untuk rakyat memanfaatkannya,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pelancaran perumahan penjawat awam Madani Malaysia di Pixel City Sentral di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur.
Anwar berkata pentadbirannya telah mewarisi senarai 60,000 orang yang menunggu rumah mampu milik.
Projek yang dilancarkan hari ini menyediakan perumahan untuk hanya 850 daripada mereka yang menunggu giliran, tambahnya.
Menurutnya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming telah merancang untuk menempatkan 34,000 lagi rakyat Malaysia.
"Jadi saya terima kasih saudara Nga Kor Ming kerana tumpu perhatian pembangunan perumahan biasa tetapi perumahan Madani untuk menjaga kepentingan bukan sahaja penjawat awam tetapi kelompok B 40 M 40 yang susah...
“Orang kaya, buatlah rumah banyak mana pun berapa puluh juta pun buatlah, saya tak peduli…tetapi rakyat yang lain harus dibantu, sebab itu mengapa jentera kerajaan harus dikerahkan supaya menyelesaikan masalah perumahan yang sangat rumit.
"Saya lihat senarai 60,000 orang menunggu untuk dapat rumah bandar raya,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Anwar berkata kenaikan ringgit mesti memberi manfaat kepada rakyat seperti menangani isu rumah mampu milik.
"Tetapi apa erti kekuatan ringgit, pelaburan yang masuk kalau tidak memberi faedah langsung kepada rakyat," katanya.
Pada 4 Ogos, Anwar berkata ringgit telah mencapai paras paling kukuh dalam tempoh 14 tahun berikutan dasar kerajaan dan muafakat untuk membangunkan negara.
Sebelum itu, Anwar dikecam oleh pengkritik berhubung kejatuhan nilai ringgit, yang mencecah paras terendah sepanjang masa berbanding dolar AS pada Oktober tahun lalu, yang paling lemah sejak krisis kewangan Asia 1997.
Hari ini, Anwar menjelaskan ringgit bukan yang terkuat di Asia walaupun nilainya yang terbaik, tetapi mata wang negara itu mempunyai kadar kenaikan tertinggi.
Selanjutnya, perdana menteri berhasrat memberi tumpuan kepada kebersihan gerai makanan dan restoran kecil kerana dikunjungi majoriti penduduk yang tinggal di bandar.
"Sebab itu saya ucap taniah kepada Jabatan Wilayah Persekutuan, KPKT, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana berikan tumpuan.
"Kita lihat berpuluhan, 70 ke 80 gerai-gerai telah diupgrade, dinaiktaraf dan kelihatan indah dan bersih," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai