Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Pemuda DAP jawab Pemuda MCA: Sim contohi ucapan Mandela

Ketua Pemuda DAP Dr Kelvin Yii membidas Pemuda MCA kerana “bermain politik” selepas ia didakwa memperdaya rakyat berhubung ucapan Menteri Sumber Manusia Steven Sim semasa Himpunan Pembebasan Palestin semalam.

Menurut Yii, ucapan Sim adalah seruan ke arah keamanan dan solidariti global bersama Palestin, dan ucapan mengaitkan kemerdekaan Malaysia dengan pembebasan Palestin adalah kilasan terhadap ucapan pemimpin Afrika Selatan, Nelson Mandela pada 1997.

Ketika Hari Solidariti Antarabangsa untuk Rakyat Palestin pada 1997, Mandela berkata, “Tetapi kita memang tahu yang kebebasan kita tidak lengkap tanpa pembebasan rakyat Palestin; tanpa penyelesaian konflik di Timor Timur, Sudan dan bahagian lain dunia.”

Yii menjelaskan, “Dengan membuat seruan itu, Mandela bukan bermaksud pembebasan dan kemerdekaan Afrika Selatan tidak tercapai, tetapi bagaimana mereka boleh berkata sudah bebas di saat saudara-saudara komuniti global berdepan kekejaman, perang dan genosid?

“Dalam konteks itulah Sim menyeru negara kita untuk bersolidariti dengan perjuangan kemanusiaan kerana ia bukan tentang kematian seorang individu saja, tetapi kehilangan lebih 39,000 nyawa - dan ribuan lagi sebelum itu - dengan ramai di kalangan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah.

“Jadi, menyedihkan apabila di tengah krisis kemanusiaan, apa yang MCA pedulikan adalah untuk bermain politik untuk kepentingan sendiri dan cuba memperdaya orang ramai berkenaan konteks sebenar ucapan itu,” katanya dalam kenyataan.

Jacob Lee

Yii yang juga ahli Parlimen Bandar Kuching menjawab Timbalan Ketua Pemuda MCA Jacob Lee yang menuduh Sim jahil sejarah Malaysia.

“Kemerdekaan Tanah Melayu dicapai melalui satu siri perjuangan, rundingan, dan usaha yang sukar. Ini adalah hasil usaha dan perjuangan bersama seluruh rakyat. 

“Ketidaktahuannya dan penyelewengannya terhadap fakta sejarah kemerdekaan kita adalah menjengkelkan,” kata Lee hari ini.

Semasa himpunan di Axiata Arena di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam, Sim berkata kemerdekaan negara ini sejak 1957 tidak lengkap selagi Palestin tidak bebas dan merdeka.

Dia menggesa seluruh rakyat Malaysia mendukung kemerdekaan Palestin kerana perkara yang berlaku di negara Timur Tengah itu isu kemanusiaan.