Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

K'jaan tak respons usaha selesai saman atas kematian model Belanda

Keluarga Ivana Smit telah mencuba sebanyak dua kali untuk menyelesaikan saman mereka terhadap kerajaan Malaysia berhubung kematian model Belanda itu tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun, kerajaan tidak memberikan respons terhadap usaha keluarga itu berhubung insiden menyaksikan remaja berusia 18 tahun itu terjatuh dari sebuah bangunan pangsapuri di Kuala Lumpur.

Peguam keluarga itu, Sankara Nair berkata mereka menghantar terma penyelesaian yang dicadangkan kepada kerajaan pada Julai tahun lalu dan pada Rabu minggu lepas.

“Bagaimanapun, kami tidak pernah mendapat maklum balas daripada kerajaan,” kata peguam itu.

Justeru Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan menjalankan perbicaraan penuh bagi saman sivil itu mulai 14 Okt ini.

Sankara menambah ibu Smit, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen adalah antara tujuh saksi yang akan dipanggil keluarga untuk memberi keterangan semasa perbicaraan.

Pada 7 Dis 2017, mayat Smit ditemui di balkoni tingkat enam CapSquare Residence di Kuala Lumpur selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Sejak meninggalkan Malaysia pada awal 2018, Johnson yang merupakan pedagang mata wang kripto dan isterinya telah diwawancara media antarabangsa, di mana mereka mengaku melakukan hubungan seks dengan Smit sebelum kejadian itu tetapi menafikan bertanggungjawab atas kematiannya.

Saman sivil keluarga Smit adalah atas dakwaan kegagalan dan kecuaian pihak berkuasa Malaysia dalam siasatan bagi menentukan punca kematian wanita itu.

Empat defendan dalam tuntutan mahkamah itu ialah menteri dalam negeri (yang tidak dinamakan), ketua polis negara (yang tidak dinamakan), pegawai penyiasat Faizal Abdullah, dan kerajaan persekutuan.

Polis pada mulanya mengklasifikasikan kes Smit sebagai kematian mengejut.

Pada 8 Mac 2019, Mahkamah Koroner Kuala Lumpur memutuskan kematian model itu sebagai satu kemalangan.

Bagaimanapun, pada November tahun yang sama, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan keputusan koroner.

Mahkamah Tinggi mendapati tiada siasatan yang mencukupi mengenai kemungkinan kematian akibat pembunuhan dan kemungkinan ia disebabkan oleh "orang yang dikenali atau tidak dikenali" kepada mangsa.

Susulan keputusan Mahkamah Tinggi, polis mengumumkan pasukan petugas baru akan dibentuk untuk membuka semula siasatan kes itu.

Pada November 2020, Verstappen, 58, memfailkan saman sivil untuk menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan daripada polis dan kerajaan.

Keluarga itu memohon perintah mandamus agar ketua polis negara, menteri dalam negeri dan/atau kerajaan mengeluarkan waran tangkap dan mengekstradisi Johnson dan Almazkyzy ke Malaysia untuk disoal lanjut dan kemungkinan menghadapi pendakwaan.