Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Rogol budak 11 tahun: Mahkamah kekalkan hukuman penghantar barang

Penghantar barang, Muhammad Nur Hidayat Md Selliman akan kekal menjalani hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan kerana merogol seorang kanak-kanak bawah umur di sebuah hotel bajet di Batu Pahat, Johor, empat tahun lalu.

Ini selepas Mahkamah Rayuan minggu lepas menolak rayuan lelaki yang juga digelar “Joe” itu , berhubung hukumannya.

Muhamad Nur Hidayat, 31, pernah melarikan diri ketika kes sedang dibicarakan di Mahkamah Sesyen Batu Pahat sebelum ditahan semula di Ipoh, Perak pada Januari 2022.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara menolak rayuan akhirnya selepas berpuas hati Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf ketika menjatuhkan hukuman itu yang kemudian disahkan oleh Mahkamah Tinggi Muar pada 22 Ogos 2023.

Dia yang bersidang bersama-sama Hakim Azman Abdullah dan Hakim Azmi Ariffin berkata, tiada justifikasi bagi korum berkenaan mengganggu perintah terhadap perayu.

“Perayu telah mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak perempuan sekecil itu untuk melampiaskan nafsunya tanpa sedikit pun merasa bersalah atau simpati terhadapnya yang masih mentah.

“Mangsa hanyalah murid darjah enam yang berusia 11 tahun 11 bulan 28 hari semasa kejadian manakala perayu ketika itu berusia 27 tahun,” ujar Hakim Azmi dalam penghakiman bertulis bertarikh 31 Julai lalu yang diperoleh oleh pihak media daripada laman web mahkamah, hari ini.

Mahkamah selanjutnya berpendirian, perayu memohon hukuman ringan kerana menyesali perbuatan tersebut dan memberi akujanji untuk tidak mengulanginya.

Namun menurut hakim, perayu cukup dewasa untuk memikirkan bahawa perbuatan liar itu bukan sahaja berakhir dengan kemudaratan dan bencana pada dirinya, malah yang lebih menyedihkan telah mencemar kesucian dan kehormatan mangsa.

Hakim Azmi juga berkata,  berita berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak semakin membimbangkan dan sangat kerap dilaporkan oleh pihak media kebelakangan ini.

“Justeru kesalahan serius perayu perlu diberi hukuman setimpal dengan perbuatan kejinya bagi melindungi kanak-kanak daripada sering menjadi mangsa jenayah seksual bagi menunjukkan keseriusan mahkamah menangani jenayah jijik ini daripada berterusan,” katanya.

Mengikut keterangan kes,  pada 20 Nov 2020, gadis kenalan Muhamad Nur Hidayat itu yang berusia 11 tahun dibawa ke hotel berkenaan selepas dibawa bersiar-siar pada petang hari kejadian.

Lelaki itu kemudian memasuki hotel itu sementara mangsa menunggu dalam kereta. Perayu selanjutnya keluar semula dan mengajak mangsa masuk ke bilik di tingkat bawah hotel berkenaan sebelum merogolnya.

Selepas kejadian, lelaki itu menurunkan gadis itu di kedai berhampiran dan mangsa yang ketakutan mendiamkan diri mengenai kejadian itu sehingga sebulan kemudian.

Sekitar Disember, ibunya menyedari perubahan drastik dalam tingkah laku anak gadisnya, lalu memaksanya menceritakan apa yang berlaku.

Ibu bapa dan anak perempuan itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Parit Raja pada 19 Dis 2020.

Keluarga mangsa kemudian mengatur rancangan untuk memerangkap lelaki itu dengan menyuruh kanak-kanak tersebut mengajaknya bertemu di Parit Raja sebelum ditangkap oleh bapa mangsa di tempat yang dijanjikan dan dibawa ke balai polis.

[Baca berita penuh]