Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

'Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka'

Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi memberi isyarat jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia kekal berada di belakang Palestin dan terus menuntut kemerdekaan negara itu daripada rejim Zionis Israel.

Perjuangan menuntut pembebasan Palestin kini bukan hanya merupakan perjuangan orang Islam, sebaliknya membabitkan perjuangan sejagat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata isu Palestin adalah soal kesejagatan dan kemanusiaan yang menjadi perjuangan semua pihak yang bersolidariti dalam menyokong pembebasan negara itu.

“Malam ini kita berkumpul sebagai tanda bahawa rakyat Malaysia tanpa mengira parti politik, tanpa mengira agama, tanpa mengira kaum, apa pun ideologi pegangan antara kita untuk Palestin kita bersolidariti menyokong perjuangan rakyat Palestin,” kata Presiden Umno itu ketika menyampaikan Pidato Pembebasan Palestin pada himpunan itu.

Ahmad Zahid berkata Ketua Biro Politik Hamas As-Syahid Ismail Haniyeh yang maut dibunuh Israel baru-baru ini, sebelum ini juga pernah berpesan bahawa beliau mengharapkan rakyat Malaysia untuk terus memberikan bukan hanya sokongan moral tetapi sokongan material agar Palestin terutamanya Gaza dapat dibangunkan semula.

Beliau berkata Malaysia juga harus berbangga kerana mempunyai seorang tokoh yang berani seperti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lantang dan berterusan memperjuangkan pembebasan rakyat Palestin.

Turut senada dengan Ahmad Zahid, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata Anwar yang namanya harum di seluruh dunia, berupaya untuk mewujudkan tatacara dunia yang baru dalam membantu Palestin mencapai kebebasan dan kemerdekaan.

“Kamu (Anwar) berupaya membuat tatacara baru di dunia ini, rapatlah dengan negara-negara Islam yang iktiraf Israel tetapi ajak mereka (negara-negara Islam itu) putuskan hubungan dengan Israel.

“Wahai Perdana Menteri bijaksana, tidak sampai dua tahun ekonomi Malaysia sudah pulih, ringgit semakin kukuh... kamu berupaya sebagai pemimpin kami, bantulah negara-negara yang bermusuh dengan Israel dan yang tiada hubungan diplomatik dengan Israel, bantu mereka supaya mereka kuat,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata dalam bersolidariti bersama Palestin, rakyat Malaysia harus mengetepikan sentimen perbezaan warna kulit dan pendirian politik sebaliknya perlu bersama-sama dalam menyokong perjuangan Palestin menuntut kebebasan serta pemerintahan sendiri.

Beliau berkata tindakan yang adil adalah isu penindasan dan kekejaman rejim Israel terhadap Palestin sepatutnya mempertemukan dan menyatukan seluruh rakyat Malaysia.

“Pada penghujung acara malam ini, kita akan membaca dan mengaminkan Qunut Nazilah... bukan ditujukan untuk memecah belah sesama umat Islam,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata usaha Malaysia bukan sahaja mendukung perjuangan Palestin, tetapi juga membantu rakyatnya menerusi tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang diperkenalkan pada Oktober tahun lepas.

Beliau berkata berdasarkan perkongsian Kementerian Luar sebagai pengendali tabung itu, setakat Mei lepas sebanyak RM97 juta telah terkumpul dengan sebanyak RM35 juta sudah dibelanjakan termasuk RM5 juta digunakan untuk membiayai yuran pembelajaran anak-anak Palestin di negara ini.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong pula menyifatkan kemerdekaan negara ini sejak 1957 masih tidak lengkap selagi Palestin tidak mencapai kebebasan dan kemerdekaan.

Justeru, beliau menggesa seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama wajib mendukung kemerdekaan Palestin kerana perkara yang berlaku di negara Timur Tengah itu adalah isu kemanusiaan serta sejagat dan bukannya semata-mata untuk orang Islam.

“Dari 1948 hingga tahun ini, sudah 76 tahun, biarlah generasi kita, zaman kita, masa kita ini, kita akan lihat dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka,” katanya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul yang berkongsi pertemuan terakhirnya dengan Haniyeh ketika menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang baharu iaitu Masoud Pezeshkian di Tehran baru-baru ini, berkata Haniyeh sempat berpesan supaya Anwar meneruskan perjuangannya membela nasib rakyat Palestin.

“Habis sahaja upacara angkat sumpah (Presiden Iran yang baru) dia (Haniyeh) menoleh ke belakang dan melihat saya (soalan) pertama dia tanya, How is Anwar Ibrahim? (Apa khabar Anwar Ibrahim?)

“Dia kata kepada saya sila pulang dan beritahu Anwar teruskan perjuangan mulia beliau.

“Malam ini saya nak sampaikan pada Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa As-Syahid Ismail Haniyeh meminta Datuk Seri Anwar memimpin kita dan terus berjuang untuk anak-anak di Palestin,” katanya.

- Bernama