Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Empangan susut air: Sanusi perlu sedia pelan lebih awal - Mahdzir

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sepatutnya lebih proaktif menguruskan isu bekalan air dan penyusutan tiga empangan di negeri berkenaan, kata Pengerusi Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mengulas kenyataan Muhammad Sanusi yang menyerahkan kepada Allah untuk menurunkan hujan bagi memulihkan paras air di empangan terbabit, Mahdzir berkata Muhammad Sanusi perlu menyediakan pelan kontigensi lebih awal.

“Kalau kemarau sampai tahap kritikal, apa pelan yang patut kerajaan negeri buat … jadi, mesti ada rancangan jangka pendek dan jangka panjang berkaitan dengan bekalan air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui semasa menyertai calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan menyantuni pengundi di Bertam Lama, di Gua Musang hari ini.

Pada Khamis, paras air di Empangan Muda berbaki lapan peratus, Empangan Pedu (39.09 peratus) dan Empangan Ahning (81.80 peratus), dengan purata keseluruhan takungan air bagi ketiga-tiga empangan ialah 43.68 peratus.

Terdahulu, dalam satu program di Renok di Gua Musang hari ini, Muhammad Sanusi berkata penyusutan air empangan terbabit bagaimanapun, tidak memberi kesan kepada sektor pertanian di Kedah.

Mengulas mengenai perkara itu, Mahdzir mengingatkan Muhammad Sanusi supaya memberi data dan statistik yang lebih tepat dan tidak memberi maklumat secara umum.

“Bekalan air ini ada dua, satu melibatkan pertanian dan satu lagi membabitkan domestik, jadi yang ini mesti ada kaedah dan pelan,” katanya.

- Bernama