Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Tiga ditahan bantu siasatan ceroboh tanah PKPP, pungut durian

Polis menahan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing bagi membantu siasatan menceroboh tanah Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) untuk memungut hasil durian, semalam.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abd Rahman berkata pihaknya telah menerima laporan pada 2.30 petang daripada Penolong Pengurus PKPP Pamah Lebar, Raub yang mendakwa terdapat orang awam menceroboh tanah milik perbadanan itu.

Beliau berkata susulan itu pihaknya menahan kesemua individu berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun itu dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Raub untuk siasatan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

"Bagaimanapun, mereka dilepaskan dengan jaminan polis setelah proses dokumentasi selesai," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Shahril turut menasihati orang ramai supaya sentiasa patuh kepada undang-undang ditetapkan dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis.

- Bernama