Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

PULASAN | Emas yang semakin hilang

PULASAN | "Kuatkan iman masing-masing," kata seorang ejen hartanah dengan yakin, "kita tak tahu perancangan musuh menjelang keluarnya Dajjal." Dia mengeja perkataan itu dengan huruf D besar, dan dua 'j'.

Dia mahu sebutan makhluk yang dibenci itu sedekat mungkin dengan bahasa Arab.

Lelaki itu terlibat dalam perbincangan tentang isu semasa yang selalu bertali arus dalam sebuah kumpulan sembang WhatsApp sekumpulan orang pencen serta bekas kakitangan yang menerima tawaran skim pemisahan sementara (VSS).

Ia kemudian bersambut-sambut dengan pelbagai kebimbangan, idea dan teori konspirasi yang lain. Sambil-sambil itu mereka juga menzahirkan rasa marah kepada kaum atau agama lain yang dianggap terus mengancam orang Melayu.

Dalam grup sembang yang lain, beberapa watak lazim di dalamnya terus gigih menyebarkan klip video pendek yang semuanya terarah kepada selera politik dia. Atau catatan yang entah daripada siapa.

Ia dihalalkan dengan kata-kata keramat zaman media sosial semasa: copy and paste dari grup sebelah. Entah sebelah mana, kita pun tak tahu. Mungkin grup 'sebelah mata' yang bertopengkan apa-apa yang menarik.

Kadang-kadang adalah juga orang lain yang menegur dengan baik atau menyindir dengan agak tajam. Grup kejiranan, begitulah. Hati kawan-kawan masih tetap perlu dijaga agar kerukunan terpelihara.

Tetapi watak yang selalu hadir solat di surau atau masjid itu tekal dengan kegemarannya - berkongsi pautan, klip video atau tulisan yang digemarinya. Biasanya orang lain buat tak endah saja, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk 'mencari pahala.'

Acuan orang lain

Kemudian datanglah orang seperti Lee Zii Jia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik. Juga Pearly Tan dan M Thinaah.

Rasa penat dipaksa membaca mesej-mesej beracun itu sedikit terubat. Kita beramai-ramai memberikan tumpuan - sekali gus harapan - buat orang seperti mereka membawa khabar yang melegakan.

Tapi itulah, kadang-kadang ia memang melegakan, namun pada masa yang lain ia melelahkan dalam bentuk yang lain pula. Lelah yang puas. Dan sesekali kempunan yang terpaksa dilayan dari semasa ke semasa.

Setakat ini satu negara masih belum boleh bersorak seronok kerana atlet kita belum dapat membawa sebarang pingat emas dari temasya Olimpik selepas lebih 30 kali ia dilangsungkan.

Cuma di sana ada satu kegembiraan yang kita persetujui bersama. Semua orang bersama-sama mendoakan kejayaan atlet negara tanpa perlu mempedulikan sangat siapa nama mereka, dan tidak mengendahkan bangsa atau agamanya.

Untuk kali yang entah ke berapa, sukan menyatukan semua orang. Pedulilah orang itu namanya Razman dari Kampung Jenalik atau Ramasamy dari Bukit Damansara, Ah Lee dari Jalan Wong Ah Jang di Kuantan, atau Philip Sta Maria dari Melaka.

Lee Zii Jia

Tidaklah salah untuk sesiapa pun juga berharap negara ini menggapai emas Olimpik. Bahkan itulah salah satu petanda yang kita ini manusia sedar diri dan kasih kepada tanah air bersama.

Cuma yang menyedihkan ialah 'emas' sedia ada dalam hidup rakyat Malaysia sedang pudar sedikit demi sedikit. Kebanyakannya berpunca daripada hasutan orang politiklah.

Lantaklah apa pun penampilan atau modal yang dibawa mereka - daripada ketuanan bangsa, penunggang agama, penghasut ekonomi, atau apa saja. Tidaklah berlalu satu saat pun kecuali mereka itu berusaha mencapai impian masing-masing untuk "berjaya" dalam definisi yang diacu oleh para pemimpin masing-masing.

Daripada sepatutnya hidup rukun damai dan membangunkan negara yang teduh, ada sejenis spesies manusia yang gigih mengeruhkan keadaan agar semua orang bergaduh sesama sendiri.

Orang yang sepatutnya cerdik, tahu sepak terajang politik dan kebusukan helah mengacum, mereka jadi pandir selepas pencen atau menikmati habuan VSS masing-masing. Malah kadang-kadang ia berlangsung hanya beberapa detik selepas mereka meletakkan dahi di atas sejadah lama-lama kerana berdoa agar diampunkan dosa yang banyak.

Atau mungkin selepas melafazkan doa agar hidup semua orang diberkati dan diberi petunjuk melalui jalan yang lurus.

Kemudian mereka berasa puas meng-qunut-nazilah-kan orang yang tidak sehaluan. Tidak cukup dengan itu, dianjurkan pula forum atau sembang santai untuk memberikan justifikasi atas sikap tersebut.

Lesen pula sudah memang ada diberikan masyarakat. Mereka adalah "tuan guru" yang menjadi "pewaris nabi." Padahal kita selalu melupakan bahawa seorang "tuan guru" itu juga mungkin 'raksasa' yang sedang meredam nafsunya yang membara.

Elok juga kalau sukan besar seperti Olimpik ini dibiarkan berlanjutan lebih lama. Selain ia dapat melupakan kita seketika daripada letihnya menjadi bidak-bidak orang politik, ia juga diharap dapat mengubat sedikit kesedihan atas gelapnya masa depan jika kejahatan yang sedang membiak ini dibiarkan lebih lama.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang percaya berdoa agar tidak menjadi paranoid sangat penting dibaca dari semasa ke semasa sekarang.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.