Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Saifuddin: Mentega Terbang promosi murtad, jejas ketenteraman awam

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan filem Mentega Terbang mempromosikan murtad dan menjejaskan ketenteraman negara.

Saifuddin berkata demikian dalam afidavit jawapan yang difailkan, sebagai respons kepada permohonan pengarah filem itu agar larangan terhadapnya dibatalkan.

Dia berkata filem itu mempromosikan pluralisme dan liberalisme agama dan mengutarakan idea yang orang Islam ada kebebasan menukar agama mengikut kehendak sendiri.

"Saya telah menonton sendiri filem tersebut bagi tujuan penelitian kandungan.

"Saya dapati filem tersebut memaparkan watak utama Aisyah dan ibu bapanya yang semuanya beragama Islam, tetapi tidak berpegang kepada akidah Islam dan melakukan perkara yang bertentangan dengan hukum Islam," katanya dalam afidavit yang dilihat Malaysiakini.

Dia berkata filem itu pada mulanya ditayangkan secara tertutup pada 2021, namun mengundang kritikan awam apabila ia mula disiarkan di platform penstriman tahun lalu.

"Sebanyak 30 laporan polis telah dbuat oleh masyarakat Islam di seluruh Malaysia terhadap filem tersebut, di mana mereka secara dasarnya tidak berpuas hati dan membantah filem tersebut yang bertentangan dengan akidah dan cara hidup umat Islam, menghina agama Islam dan menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini," katanya.

Katanya lagi, Cawangan Khas PDRM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut membuat penilaian yang serupa.

Mentega Terbang tidak pernah dikemukakan kepada Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk kelulusan, katanya lagi.

Filem tersebut mengisahkan remaja 15 tahun, Aisyah yang mula meneroka konsep kelahiran semula dalam agama-agama lain, susulan kematian ibunya.

Bapanya dipaparkan sebagai tiada masalah dengan anaknya yang mengkaji teks agama-agama lain.

'Watak tak murtad'

Dalam afidavit balasnya, pengarah Mentega Terbang Mohd Khairianwar Jailani menafikan dakwaan berkenaan promosi murtad, dengan berkata watak dalam filem itu kekal beragama Islam di akhir cerita.

Dia turut menyangkal dakwaan filem itu menjejaskan ketenteraman awam, dengan berkata ia mendapat liputan meluas di media ketika dipertontonkan di Festival Filem Asia Jogja-Netpac di Jogjakarta, Indonesia dari 27 November hingga 4 Disember 2021.

Khairianwar dan produser Mentega Terbang, Tan Meng Kheng

Dia juga mendakwa penilaian penuh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengakui filem itu adalah usaha yang baik dalam meningkatkan kesedaran ramai berkenaan aspek masyarakat majmuk dan kepelbagaian agama.

"Saya menafikan filem tersebut suatu dakwah dan pengaruh agama Kristian untuk mencabar pegangan agama orang Islam," kata Khairianwar.

[Baca berita asal]