Bestinet didakwa kutip bayaran BMS meski lepas tamat kontrak
Ketika kerajaan masih tidak memuktamadkan kontrak Bestinet Sdn Bhd bagi menguruskan Sistem Pengurusan Pekerja Asing (FWCMS), syarikat itu kini terpalit dengan kontroversi baru setelah didakwa mengutip caj kutipan bagi sistem Bio-Medical (BMS).
Ini meskipun selepas kontrak bagi caj kutipan BMS antara Bestinet dengan kerajaan tamat pada Mei 2022.
Mengikut dokumen dilihat Malaysiakini yang dikongsi oleh agensi pekerja asing dari India dan Nepal bertarikh 28 Julai 2024, Bestinet masih mengutip caj kutipan BMS sebanyak RM130 bagi setiap permohonan, meskipun kerajaan tidak lagi membenarkan kemasukan pekerja asing sejak 31 Mei.
Dalam slip transaksi pembayaran, RM100 dikutip bagi Bestinet, sementara dalam slip yang sama, RM30 dikutip bagi pihak VASN International bagi pentadbiran sistem untuk kawalan kualiti.
"Ada tiga perkara di sini. Yang pertama, Bestinet masih kutip bayaran walaupun kontrak BMS tamat pada Mei 2022.
"Kedua, dalam kontrak asal, Bestinet hanya dibenarkan mengutip RM100 sahaja. Tapi, dia mengutip lebih RM30 kononnya untuk syarikat lain.
"Yang ketiga, kerajaan Malaysia telah menamatkan penggajian pekerja asing pada 31 Mei ini. Jadi, kenapa Bestinet masih nak kutip bayaran itu?" kata ejen itu kepada Malaysiakini tanpa mendedahkan namanya.
Ketika dihubungi, jurucakap Bestinet enggan mengulas lanjut dan hanya meminta merujuk kepada kerajaan.
"Kamu boleh merujuk kepada kerajaan," kata seorang pegawai perhubungan awam Bestinet.
BMS merupakan sistem dalam talian yang dibuat khas dengan kemas kini status masa nyata untuk memantau dan mengurus isu kesihatan pekerja asing yang memohon bekerja di Malaysia.
Pada 2013 sistem BMS bersama-sama satu lagi sistem e-VDR (visa dalam rujukan) diasaskan oleh Bestinet secara 'proof of concept'.
Di bawah sistem ini, setiap pekerja perlu membuat ujian kesihatan di negara asal sebelum memasuki Malaysia.
Penggunaan modul BMS dikuat kuasa pada Jun 2015 sebelum kerajaan dan Bestinet menandatangani perjanjian pada 2017 sehingga 2021.
Dalam kontrak, Bestinet dibenarkan mengutip bayaran RM100 bagi setiap permohonan. Bestinet merupakan satu-satunya syarikat diberi hak eklusif untuk mengenakan bayaran di 15 negara sumber.
Pada 2021, mesyuarat jemaah menteri di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menambah tempoh kontrak selama setahun lagi sehingga Mei 2022.
Namun, kontrak itu tidak diperbaharui selepas Mei 2022.
Untuk rekod, Pada 24 Jun tahun ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan akan melanjutkan kontrak Bestinet tiga tahun lagi dengan syarat lebih ketat.
Menurutnya, kerajaan menubuhkan jawatankuasa yang diketuai Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan dianggotai wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk membincangkan syarat kontrak.
Antara prinsip asas yang dibincangkan adalah aspek mempercepatkan permohonan, mengurangkan kos migrasi, kebajikan pekerja asing dan kepentingan majikan.
Namun, setelah beberapa mesyuarat kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat.
Difahamkan, kontrak Bestinet dengan kerajaan masih tidak dapat dimuktamadkan selepas syarikat itu cuba mengenakan caj lebih tinggi kepada pengguna.
Malaysiakini sudah menghubungi KDN untuk mendapatkan komen.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai