Ini bukan kerajaan 'Ops Lalang', Fahmi bidas Ambiga
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil menyelar bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenavasan kerana melabel kerajaan hari ini sebagai pentadbiran diktator.
Katanya, kenyataan seumpama itu adalah kenyataan hyperbola, dan tidak berpijak kepada bumi nyata.
“Bukan kerajaan ini yang lakukan Op Lalang, bukan kerajaan ini bertindak memukul peserta demonstrasi.
“Malah baru-baru ini sekumpulan peserta membuat demonstrasi di depan pusat khidmat perdana menteri di Tambun.
“Mereka tidak disambut dengan cota dan gas pemedih mata, tetapi mereka diberikan air dan roti,” katanya pada sidang akhbar mingguan di Putrajaya hari ini.
Sambil menyatakan dia tidak bersetuju dengan pandangan Ambiga yang juga adalah bekas presiden Majlis Peguam, Fahmi menjemputnya meneliti semula sejarah perjuangan termasuk sesi himpunan Bersih yang pernah diterajuinya.
“Keadaan itu tak wujud langsung sekarang. Dia (Ambiga) salah target, mungkin pemimpin dahulu,” kata Fahmi.
Ops Lalang merujuk kepada operasi polis pada 1987, semasa pentadbiran perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang menyaksikan lebih 100 ahli politik dan aktivis ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang kini sudah dimansuhkan.
Ambiga pada 29 Julai lalu, membidas kerajaan berhubung langkah terbarunya untuk mengenakan undang-undang pelesenan baru bagi pengendali media sosial.
Katanya, dia tidak pernah membayangkan bahawa sebuah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan akan memungkiri janji pilihan raya mengenai pembaharuan undang-undang, termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.
“Kerajaan perpaduan kini kami boleh dinobatkan sebagai kerajaan paling diktator yang pernah kita ada. Syabas!” kata Ambiga.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin tampil menegur Ambiga kerana pandangannya yang dianggap melampau.
Antaranya, ahli Parlimen PKR Hassan Abdul Karim menasihatkannya supaya berhati-hati dengan tuduhannya.
Bagi Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz, dia memahami kekecewaan Ambiga berkenaan pelaksanaan reformasi yang perlahan dan sentimennya turut dikongsi pertubuhan masyarakat sivil, termasuk Bersih.
Namun, katanya untuk menyatakan kerajaan hari ini paling diktator dilihat agak keterlaluan.
Awal hari ini, Fahmi berkata platform media sosial yang gagal mendaftar selewat-lewatnya 1 Jan akan dihukum di bawah Seksyen 126 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA), yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.
Sehubungan itu, menteri komunikasi menegaskan bahawa keperluan pelesenan tidak akan menyekat kebebasan bersuara.
Sebaliknya, keperluan dibuat untuk menangani jenayah siber seperti penipuan.
“Ini juga mengenai keselamatan internet untuk kanak-kanak dan keluarga.
“Selain itu, kami mengadakan pelbagai sesi penglibatan dengan NGO (mengenai peraturan pelesenan),” tambah Fahmi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai