Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Dalang serangan 9/11 setuju mengaku bersalah

GLOBAL l Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat pada Rabu mengumumkan Khalid Sheikh Mohammed yang didakwa sebagai dalang utama serangan 11 Sept 2001, bersama dua lagi tertuduh bersetuju membuat pengakuan bersalah.

Menurut laporan media AS, pengakuan itu dipercayai sebagai pertukaran untuk mengelak hukuman mati, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Terma dan syarat perjanjian praperbicaraan tidak tersedia untuk umum pada ketika ini," menurut jabatan itu.

Serangan pengganas pada 11 Sept 2001 melibatkan empat pesawat penumpang yang dirampas dan digunakan untuk menyerang Menara Berkembar Pusat Dagangan Dunia di New York City dan ibu pejabat pertahanan Pentagon di luar Washington.

Hampir 3,000 orang terkorban dalam tragedi ini.

Mohammed ditahan di Pakistan pada 2003 dan disoal siasat oleh Agensi Risikan Pusat (CIA) serta dilaporkan diseksa semasa dalam tahanan.

Pada 2006, Mohammed dipindahkan ke kem penjara Guantanamo.

Dia dijadual menghadapi perbicaraan di hadapan tribunal tentera atas penglibatannya, namun perbicaraannya dan beberapa lagi rakan ditangguhkan.

Penjara di pangkalan tentera laut Guantanamo Bay, Cuba ditubuhkan oleh bekas presiden George W. Bush untuk menahan suspek pengganas selepas serangan 9/11.

Walaupun terdapat desakan daripada organisasi hak asasi manusia untuk menutup penjara terbabit, sejumlah kecil tahanan masih ditahan di penjara itu.

- Bernama-dpa