Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Meta biadab, turunkan ucapan takziah pembunuhan Ismail Haniyeh - PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyelar Meta dengan memberi peringatan supaya pemilik platform media sosial itu "usah jadi bacul dan perkakas rejim zalim Zionis Israel."

"Meta sekali lagi bertindak biadab dan telah menghina perjuangan rakyat Palestin apabila menurunkan hantaran video serta ucapan takziah dan kritikan terhadap pembunuhan Almarhum Ismail Haniyeh.

"Tidak masuk akal apabila hantaran menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah airnya daripada kezaliman dan penderitaan dianggap berbahaya," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Semakan di akaun Instagram Anwar mendapati, tiga hantarannya semalam yang mengutuk pembunuhan Ismail Haniyeh dan berkongsi gambar pertemuan dengan pemimpin Hamas itu diturunkan daripada aplikasi media sosial berkenaan.

Gambar yang diturunkan itu memaparkan Anwar bersama pemimpin Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh di Doha, Qatar pada Mei lalu.

Penurunan hantaran itu disertakan dengan kapsyen “Dangerous individuals and organisations”.

Semalam, Instagram memaklumkan hantaran gambar itu diturunkan kerana mengandungi "simbol, pujian atau sokongan ke atas orang dan pertubuhan yang kami takrifkan sebagai bahaya".

Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam mengecam pemilik Instagram, Meta kerana menurunkan gambar di akaun milik perdana menteri.

Bahagian Media & Komunikasi Strategik memaklumkan tindakan Meta itu ternyata memperlihatkan diskriminasi pemilik platform media sosial itu terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara terbabit.

"Sehubungan itu, kami menuntut penjelasan berhubung perkara ini dan mendesak Meta memohon maaf," katanya pada satu kenyataan.

Pada 14 Mei lalu, Anwar yang dalam rangka kerja di Doha, Qatar sempat meluangkan masa untuk bertemu Ismail Haniyeh dan Khaled Marshal.

Pada pertemuan singkat itu, perdana menteri menzahirkan ucapan takziah atas kematian ahli keluarga Ismail yang dibom rejim Zionis.

Mereka termasuk tiga anaknya, Hazeem, Amir, dan Mohamad, serta empat cucunya.

Bagaimanapun, semalam Ismail pula dilaporkan terbunuh dalam serangan ke atas kediamannya di Tehran, Iran.

Dia dikatakan berada di Tehran bagi menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian pada Selasa lalu.

Ini bukan kali pertama hantaran oleh pihak Malaysia yang memaparkan Hamas diturunkan.

Hantaran berkenaan pertemuan Anwar dengan Ketua Biro Politik Hamas itu sebelum ini turut diturunkan. Namun ia dikembalikan kemudiannya, dengan Meta menyatakan ia "diturunkan secara silap".