Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

ULASAN | Propaganda satu kerja berpasukan

ULASAN | Apakah yang anda akan lakukan kalau tiba-tiba anda dituduh sebagai seorang Melayu yang menjadi tali barut, penjilat dan barua Cina?

Sedangkan anda hanyalah seorang Melayu yang bercita-cita untuk melihat politik, perpaduan dan ekonomi negara berbilang kaum, agama dan bahasa dalam negara ini stabil sekaligus dapat memberikan manfaat kepada seluruh rakyatnya.

Anda hanya ada tiga pilihan apabila berhadapan dengan situasi ngeri tersebut. Iaitu sama ada anda membiarkannya saja dengan cara membenarkan tuduhan itu menentukan siapa diri anda yang sebenarnya.

Membiarkan tuduhan zalim itu membuat anda diasing, disisih dan dipulaukan sehingga api kebencian dan bara permusuhan yang sengaja dibakar memusnahkan diri anda sepenuhnya. Atau menjadikan serangan jahat itu sebagai suatu alat yang dapat memperteguh dan memperkuatkan anda untuk lebih cekal dengan ujian, lebih berani dengan perubahan dan lebih bersungguh-sungguh untuk memperjuangkan nasib rakyat.

Tidak ramai yang mahu sedar, apatah lagi mahu menerima hakikat bahawa politik itu adalah sesuatu yang bersifat dinamik, fleksibel dan universal. Dalam makna kata lain, politik itu sememangnya tidak tepu dan kaku sepertimana kepercayaan politik sesetengah orang yang mudah terpancing dengan politik jumud.

Saya katakan begitu kerana politik adalah sesuatu yang boleh dilentur, dilaras dan boleh disuai padankan kepentingan dan keperluannya mengikut situasi politik serta kesesuaian masa dan tempat bagi mencipta perubahan dan membawa pembaharuan demi mencapai lebih banyak kemajuan yang negara perlukan.

Permusuhan politik lampau

Sesebuah parti politik yang pernah gemilang seperti Umno yang kini berhadapan dengan turun naik dan jatuh bangun ujian penolakan dan kekalahan dalam pilihanraya misalnya. Sudah pasti ia memerlukan suatu tempoh muhasabah untuk kembali mengumpulkan kekuatannya menuju perubahan yang telah dibentuk melalui proses kematangan politik yang telah ditempuh.

Permusuhan politik lampau yang puluhan tahun tertanam dalam kepala pendokong parti boleh saja berubah dengan pendekatan politik yang lebih matang, bervisi, terbuka dan bertanggungjawab sekiranya langkah yang betul, teratur, berstrategi dan konsisten dibuat.

Perubahan cara fikir dan anjakan pemikiran hanya dapat dicapai melalui tiga perkara asas iaitu konseptual politik, strategi propaganda dan kemantapan aplikasi retorik.

Dari aspek politik, sesuatu yang dipanggil sebagai politik muakhah tentu boleh digunakan sebagai konsep asas kepada kerangka propaganda yang lebih besar.

Apabila parti siasah yang anda wakili asyik dituduh menjadi tali barut, penjilat dan barua Cina, tentulah politik muakhah ini dapat dijadikan hujah serta justifikasi mengapa perubahan cara fikir serta anjakan pemikiran politik ke arah kerajaan perpaduan yang dilakukan Umno sekarang harus didokong dan diteruskan.

Politik muakhah atau politik mempersaudarakan adalah model politik yang diasaskan oleh baginda Nabi Muhammad sewaktu baginda dijemput ke Madinah.

Melalui politik perpaduan yang menolak apa saja agenda politik kebencian dan permusuhan inilah maka kumpulan Aus dan Khazraj yang bersengketa sejak puluhan tahun akhirnya membentuk kaum Ansar dan membina pula kerjasama politik dengan kaum Muhajirin yang baru datang dari Mekah.

Naratif politik muakhah adalah satu dari beberapa naratif penting yang harus dibina dan disusun menjadi suatu propaganda politik yang dapat mengembalikan kekuatan Umno.

Umno harus mengguna pakai pendekatan politik lebih proaktif yang tidak terus menerus terperangkap dalam sejarah dan legasi kecemerlangan masa silam.

Pemujukan dalam dakwah

Pengukuhan propaganda politik sememangnya perlu dalam demokrasi kerana rakyat terlibat secara langsung bahkan mengambil bahagian dalam keputusan-keputusan politik seperti pilihanraya. Justeru propaganda yang berkesan tidak boleh bersifat individual dan ‘silo’.

Strategi propaganda bersifat kolektif yang saling bekerjasama melalui seluruh jentera dalam cabang-cabang propaganda harus kreatif serta mewujudkan ruang retorik sebagai persekitaran yang dapat dimanafaatkan oleh rakyat.

Tanpa perlu mengorbankan sentimen rakyat, agensi-agensi propaganda yang saling bekerjasama melalui kaedah retorik balaghah contohnya akan berfungsi sebagai medium penyelesaian masalah yang dicipta teknologi seperti penyebaran berita palsu dan fitnah yang diviralkan oleh pempengaruh yang menolak politik perpaduan.

Penggunaan kaedah balaghah sebagai retorik dalam sejarah dunia Islam ternyata banyak berjasa terhadap pengembangan syiarnya. Pemujukan dalam dakwah menerusi kaedah al-hikmah, maw’izah, al-hasanah dan al-mujadalah adalah sesuatu yang selari dengan konsep Ethos yakni watak yang mendorong cita-cita, Logos iaitu hujah dan pernyataan yang dikemukakan sebagai pembuktian idea, serta Pathos iaitu gaya membangkitkan emosi dan rasa yang diperkenalkan Aristotle.

Pengetahuan Ibnu Rusyd dan Ibnu Khaldun yang saya anggap tokoh dalam retorik balaghah setelah memperluaskan pengetahuan retorik Aristotle ke dalam dunia Islam. Tentu dapat dijadikan benteng bagi melawan retorik falasi yang sering digunakan kumpulan pembangkang.

Fakta, realiti, hakikat dan kebenaran akan digunakan bagi menumpaskan retorik falasi seperti kepalsuan hujah anda adalah tali barut, penjilat dan barua Cina yang sengaja direka bagi mewujudkan kepercayaan yang salah, palsu dan keliru dikalangan rakyat.

Politik, propaganda dan retorik adalah satu pakej kerjasama berpasukan yang perlu segera digerakkan hingga ketiga-tiganya diagensikan sebagai sebuah institusi masyarakat yang mesra dan pro rakyat.


BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah penasihat SLR Institute. Dia bergiat aktif dalam penyelidikan propaganda dan penjenamaan politik. Dia juga bekas ahli parlimen Sungai Besar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.